Rabu, 11 April 2018 | 10:08pm
AHMAD Izlan (kiri), Hisham, Yohei dan Mohd Taqiuddin selepas majlis MoU di Tokyo Big Sight, Tokyo hari ini.
AHMAD Izlan (kiri), Hisham, Yohei dan Mohd Taqiuddin selepas majlis MoU di Tokyo Big Sight, Tokyo hari ini.
AHMAD Izlan (kiri), Hisham, Yohei dan Mohd Taqiuddin selepas majlis MoU di Tokyo Big Sight, Tokyo hari ini.
AHMAD Izlan (kiri), Hisham, Yohei dan Mohd Taqiuddin selepas majlis MoU di Tokyo Big Sight, Tokyo hari ini.
AHMAD Izlan melihat produk madu kelulut dan diberi penerangan oleh Hisham (kiri).
AHMAD Izlan melihat produk madu kelulut dan diberi penerangan oleh Hisham (kiri).

Madu kelulut tembusi pasaran Jepun

TOKYO: Syarikat pengeluar madu kelulut Bumiputera, Bayu Gagah Marketing (M) Sdn Bhd (Bayu Gagah), yang berpangkalan di Kulim, Kedah, berjaya menembusi pasaran Jepun.

Produk Super Food pertama Malaysia yang menembusi pasaran negara matahari terbit itu memenuhi standard dan piawaian ketat makanan Jepun dengan melepasi 443 kriteria yang ditetapkan badan pengawal selia makanan negara itu.

Ketua Eksekutif Bayu Gagah, Hisham Yusof, berkata pada peringkat permulaan, pasaran akan tertumpu sekitar bandar utama seperti Tokyo dan Osaka dengan jumlah madu dibekalkan sebanyak 500 kilogram sebulan.

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan jumlah jualan yang akan diraih dalam tempoh 12 bulan akan datang mencecah RM1.4 juta.

Katanya, madu berkenaan mula diperkenalkan pada September tahun lalu di Hokkaido dan sambutan yang diterima sangat baik.

"Sukar untuk menembusi pasaran Jepun yang menetapkan pelbagai peraturan ketat dan dengan kejayaan ini membuktikan produk madu asli tempatan hasil bekalan bahan mentah dari ladang sendiri di Changlun, Kedah selain pembekal tempatan membuktikan produk kita diiktiraf antarabangsa.

"Rakyat Jepun begitu prihatin dengan penjagaan kesihatan dan khasiat produk kita ini diyakini, tambahan pula produk ini diiktiraf Malaysia Book of Records pada 2016 kerana tidak beku walaupun tiba ke puncak Gunung Everest dalam suhu negatif 30 darjah Celsius.

"Saya yakin kerja sama dengan rakan strategik dari negara ini, membantu kami meluaskan pasaran dan meningkatkan jualan pada masa depan," katanya selepas majlis pemeteraian perjanjian persefahaman (MoU) dengan Bernard Step Co Ltd (Bernard), syarikat pengedaran dan pengurusan produk madu kelulut di Jepun di sini, hari ini.

Majlis disaksikan Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Ahmad Izlan Idris dan syarikat tempatan Bernard diwakili Presidennya, Yohei Kambayashi. Turut hadir, Kaunselor Pertanian, Pejabat Perwakilan Pertanian (PPP) Tokyo, Mohd Taqiuddin Zakaria.

Turut diadakan pada majlis bersempena Expo Halal Market Fair (HMF), Food and Beverage Great Expo (FABEX) 2018 yang berlangsung hari ini hingga Jumaat ini, ialah pemeteraian MoU antara syarikat minuman kesihatan tempatan, Buminiche Sdn Bhd (Buminiche) dengan Institut Teknologi Tokyo (ITT).

Buminiche diwakili Pengarah Urusan, Mohd. Nor Azizi Awalludin manakala ITT oleh Prof Hisakazu Mihara.

Sebanyak tujuh syarikat dari Malaysia terpilih mempamerkan produk industri asas tani mereka dalam expo antarabangsa itu dengan kehadiran sebelum ini direkodkan lebih 70,000 pengunjung khususnya pengilang, pemborong dan peruncit.

Sementara itu, Ahmad Izlan berkata permintaan terhadap produk makanan halal di Jepun semakin meningkat dan menjadi harapan Malaysia untuk mempergiatkan usaha ke arah mempertingkatkan perdagangan dua hala, khususnya dalam membekalkan produk makanan halal.

Beliau yakin menerusi usaha dan kerja sama dijalankan kerajaan dapat membantu syarikat tempatan meluaskan pasaran ke negara itu dengan lebih giat.

"PPP Tokyo juga giat menggalakkan syarikat dari Jepun bekerjasama secara Original Equipment Manufacturing (OEM) dengan syarikat Malaysia untuk mendapat pengiktirafan halal bagi menembusi pasaran halal global dunia," katanya.

Berita Harian X