Khamis, 29 March 2018 | 1:26pm
PENGERUSI Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
PENGERUSI Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

PNB jual 90 High Holborn London

KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Bhd (PNB) memuktamadkan penjualan bangunan pejabat premium miliknya, 90 High Holborn yang terletak di pusat bandaraya London, semalam.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar bagaimanapun berkata pihaknya tidak boleh memberikan maklumat lanjut mengenai transaksi berkenaan kerana ia masih terikat dalam tempoh sulit.

Abdul Wahid berkata, penjualan itu dibuat berikutan harga tawaran yang menarik daripada pembelinya.

"Kami menjual hartanah berkenaan pada harga yang munasabah dan transaksi berkenaan menghasilkan pulangan yang baik.

"Penjualan itu juga menjana keuntungan serta aliran tunai, justeru kami merancang untuk memanfaatkannya dengan membuat pelaburan semula dalam aset hartanah global yang lain," katanya pada sidang media selepas mengumumkan agihan pendapatan lima dananya di sini, hari ini.

Ejen hartanah United Kingdom (UK), CoStar pada September tahun lalu menjangka nilai bagi hartanah berkenaan adalah sekitar STG190 juta (RM1.036 bilion). Hartanah mewah itu dibeli oleh PNB pada 2014 dengan harga STG140 juta.

Mengulas lanjut, Abdul Wahid berkata strategi pelaburan hartanah yang dibuat oleh PNB adalah dengan melabur untuk mendapatkan pulangan yang baik.

"Apabila pasaran bertambah baik, sebagai contoh dagangan saham semakin meningkat, kami akan mula mencari peluang untuk keluar daripada pelaburan itu.

"Bagaimanapun, PNB tidak merancang untuk menjual semua hartanah yang kami miliki kerana ada yang mahu kami kekalkan berikutan pulangannya yang mapan," katanya.

Sebelum ini, PNB mempunyai lima hartanah di London dan dengan penjualan 90 High Holborn, masih ada empat lagi hartanah yang dimilikinya di bandaraya berkenaan.

Hartanah lain milik PNB di London termasuklah Milton & Shire Houses di Silk Street, One Exchange Square, Aviation House di Kingsway dan PNB House.

Abdul Wahid berkata keputusan untuk menjual atau mengekalkan pegangan hartanah dibuat bergantung kepada permintaan sewaan.

"Ada antara bangunan yang kami miliki mempunyai penyewa yang amat berkualiti dan menghasilkan pulangan yang menarik.

"Bagaimanapun, dari masa ke semasa, jika ada pihak yang datang kepada kami dengan tawaran yang lebih baik, kami akan sentiasa membuka ruang untuk pertimbangan," katanya.

Bangunan pejabat 90 High Holborn terletak di Midtown, di tengah-tengah bandaraya London.

Berita Harian X