Rabu, 28 March 2018 | 5:16pm
PEMILIHAN untuk menyewa rumah kini menjadi keutamaan, khususnya bagi golongan berpendapatan rendah. - Foto hiasan
PEMILIHAN untuk menyewa rumah kini menjadi keutamaan, khususnya bagi golongan berpendapatan rendah. - Foto hiasan

Rumah sewa pilihan golongan pendapatan rendah: BNM

KUALA LUMPUR: Pemilihan untuk menyewa rumah kini menjadi keutamaan, meningkat menyamai hasrat membeli rumah, khususnya bagi golongan berpendapatan rendah.

Mengikut Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran 2017 yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM), cadangan dalam Bajet 2018 supaya kerajaan menggubal Akta Sewaan Rumah Kediaman, dianggap sebagai langkah tepat.

BNM berkata, dalam jangka panjang, pengenalan skim 'sewa milik' (iaitu sewa kemudian beli) juga dapat melengkapi cadangan berkaitan penggubalan akta itu.

Katanya, pada November 2017, sebuah bank Islam domestik dengan kerjasama beberapa pemaju harta tanah melancarkan skim 'sewa milik', diterajui sektor swasta untuk pelbagai jenis harta kediaman.

"Skim yang berlandaskan konsep Ijarah (pemajakan) dalam kewangan Islam, memberikan pilihan kepada pembeli rumah untuk menyewa dahulu dan kemudiannya membeli rumah itu.

"Permintaan berterusan rumah mampu milik menyokong pertumbuhan dalam pembiayaan akhir oleh bank untuk membeli harta kediaman, walaupun dalam keadaan pasaran perumahan yang lemah," katanya.

Bank pusat itu berkata, pada akhir 2017, pembiayaan bank untuk membeli harta kediaman meningkat 8.9 peratus, berbanding 9.2 peratus pada 2016.

"Sebanyak 515,021 permohonan pinjaman diterima oleh bank pada tahun 2017 berbanding 450,924 permohonan pada 2016.

"Majoriti atau 61 peratus dari permohonan berkenaan adalah untuk pembelian rumah berharga di bawah RM500,000," katanya.

Tambahnya, kadar penolakan permohonan pinjaman rumah adalah pada 23.1 peratus, iaitu di bawah purata tahun 2012 hingga 2016 sebanyak 26.1 peratus.

Punca utama penolakan permohonan pinjaman perumahan termasuklah pendapatan yang tidak mencukupi untuk menyokong bayaran balik pinjaman, rekod kredit buruk dan dokumentasi pendapatan atau kewangan yang tidak mencukupi.

Kadar penolakan permohonan pinjaman yang lebih rendah ini mencerminkan penjajaran lebih baik antara piawaian pemberian pinjaman bank dan tingkah laku peminjaman, sejajar dengan Dokumen Dasar Pembiayaan Bertanggungjawab.

Pada 2017, BNM turut melancarkan laman sesawang Housing Watch (http://www.housingwatch.my) untuk menyediakan maklumat penting mengenai pasaran perumahan termasuk skim pembiayaan rumah, keadaan pasaran perumahan dan bantuan kepada pengguna.

Berita Harian X