Jumaat, 16 March 2018 | 3:04pm
PRESIDEN Pertubuhan Industri Keretapi Malaysia (MARIC), Datuk Dr Mohd Yusoff Sulaiman ketika sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan di Cyberjaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah
PRESIDEN Pertubuhan Industri Keretapi Malaysia (MARIC), Datuk Dr Mohd Yusoff Sulaiman ketika sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan di Cyberjaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah

MARIC cadang wujudkan taman perindustrian rel

CYBERJAYA: Pertubuhan Industri Rel Malaysia (MARIC) merancang mewujudkan taman perindustrian rel di Malaysia.

Ia sebagai langkah memperkemaskan ekosistem berpusat industri yang sedang diberi perhatian serius kerajaan.

Presidennya, Datuk Dr Mohd Yusoff Sulaiman, berkata cadangan yang termaktub dalam Inisiatif Rel Nasional (NRI) yang diterajui pertubuhan itu sedang diperkemaskan dan dijangka menjadi kenyataan pada suku kedua tahun ini.

Beliau berkata, buat masa ini cadangan itu sudah dibentangkan kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan pertubuhan itu menjangkakan, ia akan dikemukakan kepada Majlis Ekonomi yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak lama lagi.

Katanya, dengan projek berkaitan rel di Malaysia mencecah RM200 bilion menjelang 2030, ia adalah sesuatu yang wajar untuk membina taman perindustrian rel bagi menyokong agenda pembangunan infrastruktur berkaitan.

"Malaysia sudah memiliki taman perindustrian untuk automotif di Gurun dan Pekan, manakala bagi aeroangkasa di Serendah. Maka, adalah menjadi satu keperluan untuk mewujudkan pusat berkaitan rel.

"Kita sedang mengenalpasti lokasi taman perindustrian ini, yang mana ia akan terletak di Lembah Klang. Kita juga mendapati Rawang adalah lokasi yang sangat sesuai untuk mewujudkan pusat ekosistem rel di Malaysia kerana persekitarannya, selain industri aeroangkasa juga berada di sana.

"Malah, 28 ahli MARIC juga menyatakan persetujuan untuk berpindah ke taman perindustrian berkenaan jika ia dapat direalisasi kelak," katanya kepada media selepas mesyuarat agung tahunan kali pertama di sini, hari ini.

MARIC diwakili 28 ahli daripada syarikat industri rel tempatan

Mengulas lanjut, Mohd Yusoff berkata, taman perindustrian rel juga akan berfungsi sebagai pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D), pusat pembangunan modal insan serta pusat pengawal selia dan dasar industri berkenaan.

Katanya, jika NRI dan taman perindustrian rel dapat dimuktamadkan, ia akan mewujudkan jaringan positif pemain industri tempatan dan menjadikan industri berpotensi memacu ekonomi negara lebih sistematik.

"Kita berharap kerajaan dapat melihat usaha yang dibangunkan MARIC ini penting untuk kelangsungan industri tempatan sekali gus melonjak kepakaran tempatan ke peringkat lebih tinggi.

"MARIC berada pada posisi yang strategik untuk memperkasa dan membangunkan industri rel tempatan," katanya.

Berita Harian X