Khamis, 15 March 2018 | 4:28pm
JOHARI (berdiri kanan) bersama Abd Latif (berdiri kiri) menyaksikan majlis Menandatangani MoU antara SPNB, institusi kewangan dan SJKP di Kuala Lumpur. - Foto Rosdan Wahid
JOHARI (berdiri kanan) bersama Abd Latif (berdiri kiri) menyaksikan majlis Menandatangani MoU antara SPNB, institusi kewangan dan SJKP di Kuala Lumpur. - Foto Rosdan Wahid

Peluang untuk miliki rumah idaman

KUALA LUMPUR: Kumpulan berpendapatan rendah di Malaysia berpeluang memiliki rumah idaman menerusi skim yang diperkenalkan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) untuk rumah berharga RM300,000 dan ke bawah.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata inisiatif berkenaan dilaksanakan oleh SPNB dengan kerjasama bersama institusi kewangan dan Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) bagi melicinkan proses pemilikan rumah bagi golongan terbabit.

Beliau berkata, menerusi kerjasama itu, berdasarkan kepada skim yang diperkenalkan melalui pemeteraian antara tiga pihak itu, ia akan membantu pembeli untuk mendapatkan kemudahan pinjaman perumahan dari pihak bank dengan jaminan oleh SJKP.

"Golongan sasaran akan menikmati kebaikan seperti permohonan pinjaman perumahan berpusat, pembeli hanya perlu membayar deposit satu bulan sahaja yang mengurangkan kadar penolakan pinjaman rumah dari bank.

"SJKP akan menjadi penjamin untuk pembeli bagi pembiayaan sehingga 100 peratus harga belian dengan gaji bersih RM1,000 untuk mereka yang layak.

"Peruntukan RM200 juta skim jaminan perumahan SJKP akan memberi keutamaan peruntukan kepada pembeli rumah SPNB," katanya pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SPNB, institusi kewangan dan SJKP di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi SPNB, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SPNB, Datuk Ahmad Azizi Ali dan Pengurus Besar Kanan Bahagian Perkhidmatan Pengurusan SJKP, Chen Yin Heng.

Majlis menandatangani perjanjian itu disempurnakan oleh Azizi dengan wakil institusi kewangan seperti Bank Rakyat, Bank Simpanan Nasional, Maybank dan Bank Islam disaksikan oleh Johari dan Abdul Latiff.

Johari berkata, kumpulan SPNB akan menawarkan unit rumah di bawah projek perumahannya di seluruh Malaysia kepada pembeli yang berminat untuk memiliki rumah sendiri.

Tambahnya, sebanyak 1,294 unit perumahan SPNB dibuka untuk jualan manakala 1,204 unit lagi dijangka dilancarkan pada suku kedua tahun ni dengan jumlah keseluruhan yang akan dibina pada 2018 adalah sebanyak 6,000 unit.

Sementara itu, Abdul Latiff berkata, bagi sepanjang tahun ini, pihaknya menjangkakan perolehan jualan produk perumahan SPNB mampu mencapai RM1 bilion berbanding RM700 juta tahun lalu, dengan purata jualan sehingga RM3 juta sehari.

SPNB dipertanggungjawabkan untuk membina rumah mampu milik melalui beberapa program seperti Rumah Mampu Milik (RMM) dan Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) di samping subsidiari seperti SPNB Aspirasi, SPNB Idaman, SPNB Mesra, SPNB Edar dan SPNB Dana.

Berita Harian X