Selasa, 6 March 2018 | 3:53pm

Bank patuh prosedur ketat lulus pinjaman - ABM

KUALA LUMPUR: Persatuan Bank-bank di Malaysia (ABM) berkata pinjaman yang diluluskan oleh bank, yang menjadi anggotanya, dinilai dengan ketat, selaras dengan garis panduan dan tatacara kelulusan peringkat dalaman masing-masing.

Mengulas artikel yang diterbitkan oleh sebuah portal dalam talian bertajuk, 'Akses mudah ke pinjaman menyumbang kepada muflis, kata kumpulan pengguna' baru-baru ini, ABM berkata antara faktor yang diambil kira oleh anggotanya termasuk menilai permohonan pinjaman berdasarkan kelayakan pemohon dan keupayaan pembayaran balik.

ABM mempunyai 27 bank ahli yang terdiri daripada bank komersial yang kini beroperasi di Malaysia.

"Bank ahli kami komited mematuhi garis panduan pembiayaan yang bertanggungjawab dan terus menyokong dalam menyediakan pembiayaan kepada pemohon yang layak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Proses pengesahan yang ketat, termasuk menyemak status kewangan pemohon dengan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat dan pelbagai agensi laporan kredit, dilakukan sebelum meluluskan permohonan pinjaman, kata ABM.

"Bank mematuhi amalan pembiayaan yang bertanggungjawab dalam menyediakan pinjaman. Ini adalah untuk mengelakkan pendedahan kedua-dua bank dan peminjam terhadap peningkatan risiko kredit.

"Bank ahli kami juga memberi tumpuan serius kepada penipuan, dan jika pemalsuan dikesan, bank akan mengambil langkah segera untuk menangani isu ini dan menolak permohonan," kata ABM.

Persatuan itu juga mengingatkan orang ramai supaya mengamalkan perbelanjaan berhemat dalam usaha untuk mengelakkan terjebak dalam masalah kewangan.

"nasihat ini juga terpakai dalam penggunaan kemudahan seperti kad debit dan kad pembayaran lain," katanya. - Bernama

Berita Harian X