Khamis, 1 March 2018 | 6:58pm

Eksport Malaysia diunjur meningkat 8.4 peratus

KUALA LUMPUR: RAM Rating Services Bhd (RAM Ratings) menjangka pertumbuhan eksport Malaysia meningkat kepada 8.4 peratus pada Januari lalu, meskipun berkurangan kepada 4.7 peratus pada bulan sebelumnya.

Agensi penarafan itu berkata pengembangan eksport dijangka meningkat, disokong oleh permintaan global yang positif, terutamanya dari pasaran-pasaran utama yang mencatatkan pengukuhan ekonomi seperti Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun.

"Bagaimanapun, peningkatan ini akan disederhanakan oleh kesan penormalan asas rendah," kata RAM Ratings dalam satu kenyataan hari ini.

Pertumbuhan import dijangkakan susut kepada 3.2 peratus pada Januari 2018 daripada 7.9 peratus pada Disember 2017.

Agensi penarafan itu berkata angka bagi Disember 2017 mendapat rangsangan daripada peningkatan sekali 35.2 peratus daripada barangan modal diimport (contoh penghantaran pesawat Airbus).

"Keseluruhannya, lebihan perdagangan diunjur sebanyak RM8.5 bilion bagi Januari 2018," kata RAM Rating.

Mengenai rancangan EU untuk menghentikan secara berperingkat biofuel berasaskan minyak sawit menjelang 2021, agensi penarafan itu berkata ia akan membawa kesan langsung kepada pengeluar minyak sawit utama seperti Malaysia.

"Permintaan terhadap minyak sawit masih akan disokong oleh pasaran makanan. Walaupun EU merupakan destinasi utama bagi tanaman itu, kuantum minyak sawit yang digunakan dalam pengeluaran biofuel di EU hanya sekitar lima peratus daripada pengeluaran minyak sawit global pada 2017.

"Kesan jangka panjang mungkin tidak ketara memandangkan permintaan terhadap minyak sayuran meningkat pada kadar stabil tiga peratus hingga empat peratus setahun, dalam tempoh beberapa tahun lepas, menurut data daripada Jabatan Pertanian Amerika Syarikat," kata RAM Ratings.

Agensi itu berkata eksport haiwan, minyak sayuran dan lemak ke EU membentuk hanya 0.8 peratus daripada keseluruhan eksport 2017, membayangkan pengaruh kecil rantau itu terhadap pertumbuhan secara keseluruhan. - BERNAMA

Berita Harian X