Ahad, 25 Februari 2018 | 8:24pm
MENTERI Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman menyampaikan Kupon Diskaun Chicken Cottage selepas melancarkan Food Truck Chicken Cottage ketika Ekspo Terengganu 2018 di perkarangan Kompleks Sukan Negeri Gong Badak hari ini. -Foto Ghazali Kori
MENTERI Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman menyampaikan Kupon Diskaun Chicken Cottage selepas melancarkan Food Truck Chicken Cottage ketika Ekspo Terengganu 2018 di perkarangan Kompleks Sukan Negeri Gong Badak hari ini. -Foto Ghazali Kori

Chicken Cottage tambah cawangan

KUALA NERUS: Restoran makanan segera milik Kerajaan Terengganu, Chicken Cottage, akan melebarkan sayap pemasarannya bermula bulan depan dengan pembukaan sembilan lagi cawangan di luar negara, tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata pembukaan cawangan Chicken Cottage akan dilaksanakan secara berperingkat bermula Mac ini di Jerman.

Beliau berkata, selain Jerman, pembukaan cawangan itu juga akan turut dikembangkan di negara lain termasuk Dubai, Algeria dan United Kingdom, London.

"Pembukaan akan dilakukan secara berperingkat dan kerajaan negeri baru saja menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat di Dubai yang mana enam cawangan Chicken Cottage akan dibuka di negara berkenaan," katanya selepas merasmikan 'food truck' Chicken Cottage pertama di tapak Ekspo Terengganu di Kompleks Sukan Negeri di sini, petang ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi II Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman; Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu, Tun Feisal Tun Abdul Razak; Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), Datuk Seri Abdul Jalil Hamid; dan Ketua Pengarang NSTP, Datuk Yushaimi Maulud Yahaya.

Ahmad Razif berkata, sebuah restoran di Lembah Klang juga dijangka beroperasi pertengahan bulan ini yang menyediakan 108 kerusi kepada pelanggan.

"Dengan pembukaan lebih banyak cawangan, kerajaan menjangka keuntungan 300,000 pound pada tahun ini.

"Malah, ia juga menjadi penambahan kepada lebih 100 cawangan sedia ada di United Kingdom, Pakistan, Algeria, Perancis, Dubai, Slovakia, Afrika Selatan, Libya, Sweden, Itali dan Iraq," katanya.

Berita Harian X