Rabu, 21 Februari 2018 | 1:18pm

Malaysia kekal peneraju sukuk global 2017

KUALA LUMPUR: Malaysia mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju pasaran penerbitan sukuk dunia pada 2017 dengan terbitan bernilai AS$36.5 bilion daripada sukuk global.

Ini diikuti oleh Arab Saudi (AS$31.7 bilion), Indonesia (AS$6.9 bilion) dan Qatar (AS$5.6 bilion), kata RAM Rating Services Berhad (RAM Ratings) dalam satu kenyataan hari ini.

Jumlah terbitan sukuk global pada 2017 turut melepasi unjuran awal RAM Ratings sebanyak AS$85 bilion-AS$90 bilion apabila meningkat 33.6 peratus bagi tahun ke tahun kepada AS$97.3 bilion (2016: AS$72.9 bilion).

Ini didorong oleh lonjakan terbitan sukuk sebanyak 144.5 peratus atau AS$46.6 bilion daripada kalangan negara Majlis Kerjasama Teluk, kata agensi penarafan itu.

Pada 2016, Malaysia turut berada di kedudukan teratas arena sukuk global dengan terbitan sukuk berjumlah RM29.9 bilion, kata RAM Ratings.

Selain itu, sukuk wajaran tinggi terbitan kerajaan yang diterajui oleh DanaInfra Nasional Bhd, Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam dan Prasarana Malaysia Bhd, juga terbukti menyokong terbitan sukuk dalam mata wang tempatan Malaysia pada 2017.

Ketua Pembiayaan Islam RAM Ratings, Ruslena Ramli, berkata terbitan sukuk mata wang tempatan itu berjumlah RM168.7 bilion pada tahun lalu, sekali gus melebihi unjuran tahun penuh agensi penarafan itu sebanyak RM100 bilion-RM120 billion.

"Kami menjangkakan terbitan sukuk DanaInfra akan meningkat secara ketara pada 2018, dipacu oleh keperluan pembiayaan (bagi projek) Laluan MRT2 dan Lebuhraya Pan Borneo," katanya.

-- BERNAMA

Berita Harian X