Jumaat, 19 Januari 2018 | 8:31pm

RAM Ratings sahkan penarafan negara Malaysia berskala ASEAN, Global

KUALA LUMPUR: RAM Ratings mengesahkan penarafan negara Malaysia skala ASEAN dan global, masing-masing pada gA2/stabil/gP1, seaAAA/stabil/seaP1 dan AAA/stabil/P1.

Penarafan ini mencerminkan pertumbuhan ekonomi negara yang berdaya tahan dan usaha pengukuhan fiskal kerajaan, manakala petunjuk luaran negara masih menyokong penarafan sedia ada, walaupun paras hutang kerajaan dan isi rumah masih membimbangkan.

"Pertumbuhan ekonomi Malaysia yang dianggarkan 5.8 peratus pada 2017, melebihi jangkaan awal kami pada 4.5 peratus, hasil daripada pertumbuhan eksport yang pesat ketika pemulihan menyeluruh dalam ekonomi dunia.

"Pertumbuhan yang berdaya tahan pada 2017 juga menunjukkan ekonomi domestik menyesuaikan diri dengan pembaharuan struktur sebelumnya," kata RAM Ratings dalam satu kenyataan hari ini.

Permintaan ke atas pelaburan dijangka meningkat, selari peningkatan kapasiti dalam pelbagai sektor selain projek pembangunan besar yang sedang berjalan, kata agensi penarafan itu.

Permintaan import Malaysia diunjurkan meningkat antara 2019 dan 2021, berdasarkan jangkaan projek infrastruktur sedia ada dan yang akan datang, yang mungkin mengurangkan lebihan akaun semasa dalam tempoh terbabit.

Selaras dengan kedudukan ekonomi global yang teguh, lebihan akaun semasa Malaysia dianggarkan sebanyak 2.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2017, mengatasi unjuran awal RAM Ratings sebanyak 1.0 peratus.

Akaun semasa dijangka kekal dalam kedudukan lebihan pada 2.0 peratus daripada KDNK pada 2018 selari dengan pertumbuhan permintaan global yang berterusan.

Sasaran defisit fiskal kerajaan pada 2.8 peratus daripada KDNK dalam Bajet 2018 berbanding anggaran 3.0 peratus KDNK pada 2017, boleh dicapai berdasarkan kedudukan ekonomi selain pemulihan secara beransur-ansur harga minyak, dan menyokong komitmennya untuk penyatuan fiskal dalam jangka panjang, kata RAM Ratings.

"Walaupun kemungkinan berlaku perbelanjaan yang lebih tinggi menjelang Pilihan Raya Umum ke-14, sudah terdapat bukti disiplin belanjawan dipertingkatkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini," katanya.

Hutang kerajaan persekutuan kekal tinggi meskipun unjuran penurunan kepada 50.3 peratus daripada KDNK menjelang akhir 2018 berbanding anggaran 51.2 peratus tahun lalu.

RAM Ratings berkata, beban hutang kerajaan diterjemahkan kepada nisbah perkhidmatan hutang yang tinggi sebanyak 12.9 peratus pada 2018 - lebih tinggi daripada rakan serantau.

Begitu juga, liabiliti luar jangka kerajaan kekal ketara pada 16.9 peratus daripada KDNK pada separuh pertama 2017, yang boleh mencetuskan risiko berterusan terhadap kedudukan fiskalnya.

"Nisbah ini dianggarkan meningkat kepada 18.4 peratus menjelang 2023, disebabkan oleh pembangunan projek besar serta komitmen rutin kerajaan terhadap perumahan dan institusi pendidikan tinggi," kata RAM Ratings. - BERNAMA

Berita Harian X