Jumaat, 27 Oktober 2017 | 7:50pm
FOTO hiasan.
FOTO hiasan.

DFTZ lonjak niaga rentas sempadan

Permulaan operasi Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) bakal menjadikan Malaysia sebagai hab serantau bagi perkhidmatan eFulfilment, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pasaran dan monobrand.

DFTZ juga dijangka akan merancakkan perdagangan rentas sempadan melalui eDagang serta menyediakan akses lebih luas kepada PKS untuk menembusi pasaran global. Inisiatif berkenaan turut membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi digital.

Justeru, PKS perlu bergerak pantas seiring dengan persekitaran perniagaan yang dinamik serta bersedia untuk terbabit secara aktif dalam rantaian penawaran antarabangsa.

DFTZ yang diumumkan pada 22 Mac lalu di Kuala Lumpur ialah zon perdagangan bebas digital pertama di dunia di luar China.

Zon berkenaan adalah inisiatif di bawah Pelan Hala Tuju Strategik eDagang Kebangsaan bermatlamat menggandakan pertumbuhan eDagang daripada 10.8 peratus kepada 20.8 peratus serta meningkatkan sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM211 bilion menjelang 2020.

Faedah DFTZ akan memudahkan PKS mengeksport produk ke peringkat global dan menyediakan peserta pasaran dengan persekitaran perdagangan eDagang yang holistik.

Persekitaran itu dapat dilaksanakan melalui lokasi strategik dilengkapi kemudahan bertaraf dunia; platform ePerkhidmatan digital bersepadu untuk mengakses penyedia perkhidmatan global dan proses pengawal seliaan lebih baik bagi meningkatkan kecekapan dalam pelepasan kastam dan kargo.

Hab penunaian jenama global

DFTZ membolehkan peserta pasaran global mendapatkan sumber daripada pengeluar atau penjual di Malaysia dan menjadikan negara ini sebagai hab penunaian jenama global.

Oleh itu, kerajaan merancang untuk menarik 1,500 PKS menyertai platform DFTZ menjelang akhir tahun ini dan sebanyak 8,800 PKS pada 2018.

Selain itu, DFTZ juga dijangka meningkatkan sumbangan PKS kepada KDNK melebihi 60 peratus, mewujudkan 60,000 peluang pekerjaan dan menggandakan eksport PKS kepada RM162.9 bilion menjelang 2025.

Komposisi DFTZ terdiri daripada tiga komponen menggabungkan zon fizikal dan zon maya. Zon fizikal terdiri daripada Hab e-Fulfilment dan Hab Perkhidmatan Satelit, manakala zon maya terdiri daripada Platform e-Perkhidmatan.

Hab e-Fulfilment berperanan membantu PKS mengeksport produk dengan cekap melalui bantuan penyedia perkhidmatan penunaian terkemuka dan terletak di KLIA Aeropolis.

Bagi Hab Perkhidmatan Satelit yang ditempatkan di Kuala Lumpur Internet City pula akan beroperasi sebagai hab digital bagi syarikat berkaitan internet tempatan dan global.

Sementara platform ePerkhidmatan akan melengkapi inisiatif Hab eFulfilment dan Hab Perkhidmatan Satelit dengan menghubungkan pembekal perkhidmatan perniagaan yang inovatif dengan perkhidmatan kerajaan.

Platform itu yang dilengkapi dengan teknologi digital terkini akan menambah baik proses pelepasan kargo dan lain-lain proses yang berkaitan dengan perdagangan rentas sempadan.

Berita Harian X