Rabu, 25 Oktober 2017 | 9:01pm

RAM Rating naik taraf Program Sukuk Mudharabah Senior

KUALA LUMPUR: RAM Ratings mengesahkan semula penarafan yang dinaikkan pada 'AA 2(s)/Stabil' bagi Program Sukuk Mudharabah Senior RM665 juta (2006/2021) oleh Mukah Power Generation Sdn Bhd (MPG).

Penarafan yang dinaikkan itu menunjukkan sokongan kepada MPG daripada Sarawak Energy Bhd Group (SEB) yang memiliki syarikat berkenaan menerusi anak syarikat milik penuhnya, SEB Power Sdn Bhd, menurut kenyataan agensi penarafan itu di sini.

RAM Ratings berkata, Syarikat SESCO Bhd (SESCO), anak syarikat milik penuh SEB dan pedagang tunggal MPG, menyediakan pelbagai bentuk bantuan kepada syarikat itu sebelum ini untuk mengekalkan prestasi kewangan syarikat yang kukuh.

MPG adalah penjana tenaga bebas yang ditubuhkan untuk membina, memiliki, mengendalikan dan menyenggara loji kuasa tenaga arang batu 270 MegaWatt di Mukah, Sarawak, mengikut Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) selama 25 tahun dengan SESCO, yang akan tamat pada 15 Januari 2034. - BERNAMA

Berita Harian X