Khamis, 20 Jun 2024 | 1:39pm
CelcomDigi Bhd -NSTP/AZIAH AZMEE
CelcomDigi Bhd -NSTP/AZIAH AZMEE

CelcomDigi bayar RM139 juta kos pemberhentian pekerja

KUALA LUMPUR: CelcomDigi Bhd membayar kos pemberhentian pekerja bernilai RM139 juta yang membabitkan seramai 600 pekerja pada suku pertama 2024.

Penganalisis RHB Investment Bank, Jeffrey Tan, berkata langkah itu menyebabkan pendapatan sebelum faedah, rosot nilai, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) CelcomDigi susut 12 peratus suku ke suku, dengan jumlah pekerja dikurangkan kepada antara 3,500 hingga 3,700 orang.

"Dengan ini, ia dijangka mencatat penjimatan RM80 juta hingga RM90 juta menjelang akhir tahun ini, yang juga termasuk dalam nilai kasar sinergi RM700 juta yang diramalkan untuk tahun kewangan 2024," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.

Beliau berkata, fasa penyepaduan rangkaian CelcomDigi dilihat selesai hampir separuh dengan lebih 7,200 menara ditambah baik dan ia dijangka siap sepenuhnya sebelum 2025.

"CelcomDigi juga sudah mengurangkan bilangan pengedar utama kepada lapan daripada 16 selepas merombak semula saluran pengedarannya," katanya.

Syarikat telekomunikasi (telco) secara amnya berjaya menepati keputusan kewangan yang ditetapkan untuk suku tahun Mac lalu, dengan Axiata Bhd menjangkaui ramalan konsensus, sementara CelcomDigi tersasar.

Untuk suku tahun ini, prestasi dilihat menunjukkan trend yang lazimnya berlaku apabila hasil perkhidmatan mudah alih (MSR) susut 1.1 peratus suku ke suku.

Secara tahun ke tahun, MSR menokok 0.1 peratus dengan Maxis mencatat kenaikan lanjut dalam bahagian pasaran hasil (RMS) dan pada masa yang sama menyebabkan CelcomDigi kehilangan bahagian pasaran hasilnya.

Kenaikan ini berlaku disebabkan oleh pertumbuhan kukuh enam peratus tahun ke tahun dalam segmen pasca bayar.

Bahagian pasaran EBITDA untuk Maxis pula berkembang dua peratus suku ke suku kepada 41.4 peratus, dengan CelcomDigi mencatat penurunan kepada 58.6 peratus.

Purata pendapatan setiap pengguna (ARPU) gabungan industri kekal tertekan, apabila mencatatkan penguncupan sebanyak empat peratus berbanding tahun lalu ekoran kekangan inflasi dan persaingan yang rancak.

Tiada pindaan dibuat ke atas bayangan prestasi syarikat telco untuk 2024, iaitu pertumbuhan pendapatan perkhidmatan angka tunggal rendah dengan EBITDA mendatar.

Dalam perkembangan lain, Tan berkata melalui kenyataan media yang dibuat pada 7 Jun lalu, Maxis mengulangi hasratnya untuk menyokong usaha peralihan kepada rangkaian 5G yang kedua, selain berkata bahawa pihaknya bersedia untuk melengkapkan proses perjanjian langganan saham (SSA) itu dengan lebih awal.

Beliau berkata, kerajaan sudah menetapkan 21 Jun sebagai tarikh akhir untuk lima syarikat telco memuktamadkan SSA terbabit untuk pegangan saham gabungan sebanyak 70 peratus dalam Digital Nasional Bhd (DNB).

"Dengan pemegangan saham dalam DNB ini, usaha pelancaran rangkaian 5G kedua dapat dimulakan, namun ia akan memakan masa di samping syarikat pencari akses masih dikehendaki menggunakan rangkaian DNB dalam jangka sederhana," katanya.

Berita Harian X