Isnin, 17 Jun 2024 | 12:50pm
Perkhidmatan Ubat Melalui Pos (UMP) beroperasi sejak 2011 - Gambar ihsan Pos Malaysia
Perkhidmatan Ubat Melalui Pos (UMP) beroperasi sejak 2011 - Gambar ihsan Pos Malaysia

Pos Malaysia perkenal bayaran tanpa tunai khidmat hantar ubat KKM

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Bhdmenjalin kerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kiplepay Sdn Bhd (Kiplepay) bagi memperkenalkan sistem pembayaran dalam talian untuk perkhidmatan Ubat Melalui Pos (UMP).

Langkah strategik itu membolehkan orang ramai kini memesan ubat daripada fasiliti kesihatan KKM dan melakukan transaksi pembayaran secara dalam talian sebelum dihantar oleh Pos Malaysia.

Ia juga adalah komitmen bersama memperbaiki dan meningkatkan kemudahan sistem kesihatan bagi rakyat Malaysia, terutamanya bagi mereka yang mempunyai keupayaan terhad untuk mengunjungi fasiliti kesihatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Charles Brewer, berkata inisiatif itu mempamerkan komitmen kumpulan terhadap inovasi dan kebolehcapaian dalam penjagaan kesihatan.

Beliau berkata, dengan mengintegrasikan teknologi pembayaran terkini ke dalam perkhidmatan UMP dengan lancar, Pos Malaysia sedang menyusun semula operasi dan memastikan akses yang mudah.

"Ini menunjukkan dedikasi kami dalam memenuhi pelbagai keperluan rakyat," katanya dalam satu kenyataan.

Perkhidmatan UMP yang beroperasi sejak 2011 adalah penting dalam memastikan pesakit menerima ubat yang ditetapkan secara langsung di kediaman dan memudahkan pematuhan kepada ubat-ubatan yang ditetapkan.

Bagi tempoh Julai hingga Disember 2023, UMP dan Pos Malaysia telah menghantar lebih daripada 348,501 bungkusan preskripsi, menekankan peranannya yang penting dalam menyokong inisiatif sistem kesihatan KKM.

Ciri pembayaran dalam talian yang diperkenalkan itu diintegrasikan melalui gerbang pembayaran Pos Malaysia ke dalam aplikasi MyUBAT KKM, membolehkan pesakit membuat pembayaran yang selamat dan mudah dari mana-mana sahaja.

Sistem itu menyokong pelbagai kaedah pembayaran, termasuk kad kredit dan debit serta perbankan dalam talian, memastikan proses transaksi yang lancar bagi semua pengguna.

Berita Harian X