Khamis, 13 Jun 2024 | 7:12pm
Tan Sri Lim Hock San bersama barisan Ahli Lembaga Pengarah LBS selepas berakhir Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-24.
Tan Sri Lim Hock San bersama barisan Ahli Lembaga Pengarah LBS selepas berakhir Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-24.

LBS raih jualan cecah RM1.71 bilion

KUALA LUMPUR: LBS Bina Group Bhd (LBS) mencatatkan jualan belum dibil sebanyak RM1.71 bilion setakat 31 Mei 2024.

Ia sekali gus meletakkan pemaju hartanah terkemuka pilihan rakyat itu dalam landasan pertumbuhan kukuh memandangkan jualan belum dibil turut diiktiraf secara progresif pada tahun akan datang.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Lim Hock San, berkata bersandarkan keluasan bank tanah sebanyak 1,077 hektar, LBS akan terus memacu pertumbuhan dan keuntungan, di samping memberi komitmen untuk memaksimumkan nilai pemegang saham sekali gus memberikan pulangan jangka panjang yang lestari.

"LBS telah melancarkan tiga projek baharu, iaitu D'Island Residence, Alam Perdana Central Hub dan Bandar Saujana Putra. Ketiga-tiga projek ini mempunyai nilai gabungan sebanyak RM1.1 bilion.

"LBS akan terus berusaha untuk mencapai dan mengekalkan kejayaan. Dengan visi yang jelas, strategi yang kukuh dan komitmen terhadap kecemerlangan, saya yakin kumpulan akan mencapai tahap yang lebih tinggi di masa akan datang," katanya dalam satu kenyataan.

Hock San berkata, dedikasi LBS terhadap nilai sosial serta pemuliharaan alam sekitar adalah selaras dengan komitmen berterusannya untuk menerapkan kelestarian ke dalam model perniagaan.

Beliau berkata, usaha itu bukan saja memperkukuhkan tanggungjawab sosial korporat, malah ia memberi manfaat jangka panjang untuk alam sekitar selain dari meningkatkan daya saing pasaran.

Dalam kenyataan yang sama, LBS mengumumkan bahawa keputusan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-24 telah dimuktamadkan dengan jayanya.

Penyata kewangan yang telah diaudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 bersama-sama dengan Laporan Pengarah dan Juruaudit telah dibentangkan untuk pertimbangan dan seterusnya diterima oleh pemegang saham kumpulan.

Kesemua 10 resolusi biasa yang dinyatakan di dalam Notis AGM juga telah diluluskan dengan sewajarnya oleh pemegang saham, termasuk dividen satu peringkat akhir sebanyak 1.35 sen sesaham (Dividen Akhir) untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.

Bersama-sama dengan dividen interim satu peringkat pertama sebanyak 1.35 sen sesaham (Dividen Pertama) yang diumumkan pada 17 April 2024, jumlah keseluruhan dividen LBS bagi tahun kewangan 2023 adalah berjumlah 2.70 sen sesaham.

Dividen itu adalah yang tertinggi pernah direkodkan berikutan prestasi kewangan LBS yang teguh dan konsisten.

Dengan mengutamakan pencapaian keputusan yang mantap, LBS telah meraih pencapaian penting itu sekali gus menunjukkan komitmen mereka untuk menyampaikan nilai yang besar kepada pemegang saham di samping imbuhan ganjaran di atas kepercayaan dan keyakinan pelabur.

Dividen Pertama dan Dividen Akhir akan dibayar masing-masing pada 16 Julai 2024 dan 12 September 2024 kepada pemegang saham yang namanya tertera dalam Rekod Pendeposit LBS pada 28 Jun 2024 dan 30 Ogos 2024.

Berita Harian X