Khamis, 13 Jun 2024 | 3:34pm

Kerjasama MYDIN, Boost Bank tawar penjimatan pelanggan

SUBANG JAYA: Pemborong dan peruncit tempatan negara, Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN), mengumumkan kerjasama eksklusif dengan Boost Bank, bertujuan untuk menawarkan penjimatan kepada pelanggan MYDIN yang mendaftar Boost Bank dan menggunakan aplikasi berkenaan.

Pengarah Urusan MYDIN, Datuk Dr Ameer Ali Mydin, berkata dengan perkongsian ini, pelanggan yang menggunakan Boost Bank kini boleh menikmati penjimatan eksklusif semasa membeli-belah di cawangan MYDIN.

"Antara promosi membabitkan barangan keperluan seperti gula pasir (harga asal RM2.85), tepung gandum (harga asal RM2.80), Sardin MyRasa (harga asal RM5.50) serta Roti Gardenia (harga asal RM4.00) yang dijual pada harga rata RM2.00 bagi setiap barangan tersebut bermula hari ini sehingga 23 Jun 2024.

"Kami menggalakkan pembayaran digital untuk memudahkan dan mempercepatkan proses pembayaran di kaunter pembayaran kami dan membolehkan pelanggan kami secara serentak mendapat manfaat daripada penjimatan dan keistimewaan yang ditawarkan oleh Boost Bank", katanya kepada media di majlis pengumuman kerjasama eksklusif antara MYDIN dan Boost Bank di sini, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Boost Bank, Fozia Amanulla, berkata kerjasama dengan MYDIN menekankan misi Boost Bank untuk memupuk inklusi kewangan dan mempermudahkan perbankan untuk semua rakyat Malaysia di mana melalui aplikasi Boost Bank, pelanggan MYDIN akan menikmati penjimatan yang lebih tinggi dengan keistimewaan eksklusif seperti kadar faedah yang lebih tinggi melalui 'Boost Bank Savings Jars'.

"Pengalaman perbankan digital ini bertujuan untuk mengubah cara pelanggan berbelanja dan menguruskan kewangan mereka dengan menyediakan kemudahan dan faedah kewangan yang dipertingkatkan di mana kami teruja untuk menawarkan penyelesaian kewangan yang inovatif kepada pelanggan setia MYDIN bagi memastikan mereka dapat membeli-belah serta melakukan urusan perbankan dengan mudah dan pantas.

"Kerjasama ini turut direalisasikan melalui DuitNow Online Banking oleh PayNet, yang membolehkan pengalaman 'online transfer' yang lancar ke dalam akaun Boost Bank di mana pelanggan boleh menikmati akses yang lebih mudah dan selamat kepada dana bank digital mereka," katanya.

Beliau berkata, kerjasama strategik antara MYDIN dan Boost Bank ini turut menawarkan kadar faedah harian eksklusif sehingga 4 peratus setahun (dibayar secara mingguan) kepada pelanggan MYDIN yang membuka akaun Boost Bank, deposit sekurang-kurangnya RM2,000 ke dalam Savings Jars dengan membelanjakan minimum RM50 sebulan melalui aplikasi Boost eDompet di mana-mana cawangan MYDIN dari 13 Jun hingga 30 September 2024.

"Pelanggan juga secara automatik akan menjadi 'Platinum President' di aplikasi Boost Bank dan Boost eDompet di mana pelanggan perlu memastikan akaun Boost Bank mereka dihubungkan dengan aplikasi Boost sebelum membuat transaksi.

"Selain itu, pelanggan MYDIN yang membuka akaun Boost Bank juga layak menerima pulangan tunai RM10 melalui 'Partner Wallet' di aplikasi Boost yang boleh diaktifkan melalui kod promo 'BOOSTMYDIN'," katanya.

Sementara itu, Boost Bank melancarkan aplikasi terbarunya minggu lalu yang menetapkan standard baru dalam perbankan digital dengan mengintegrasikan perkhidmatan kewangan secara lancar ke dalam kehidupan harian rakyat Malaysia. Katanya, aplikasi inovatif membolehkan pelanggan, termasuk mereka yang tidak mempunyai akaun bank sedia ada, untuk mendaftar secara digital dengan mudah.

"Kerjasama antara MYDIN dan Boost Bank adalah komitmen untuk meningkatkan pengalaman membeli-belah pelanggan melalui penyelesaian digital yang inovatif," katanya.

Pengarah Urusan MYDIN, Datuk Ameer Ali Mydin (tiga dari kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Boost, Sheyantha Abeykoon (tengah) dan Ketua Pegawai Eksekutif Boost Bank, Fozia Amanulla (dua dari kiri) mengadakan melancarkan Majlis Pengumuman Kerjasama Eksklusif Antara Mydin dan Boost Bank di Mydin Mall, Subang. - NSTP/GENES GULITAH
Pengarah Urusan MYDIN, Datuk Ameer Ali Mydin (tiga dari kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Boost, Sheyantha Abeykoon (tengah) dan Ketua Pegawai Eksekutif Boost Bank, Fozia Amanulla (dua dari kiri) mengadakan melancarkan Majlis Pengumuman Kerjasama Eksklusif Antara Mydin dan Boost Bank di Mydin Mall, Subang. - NSTP/GENES GULITAH
Berita Harian X