Selasa, 11 Jun 2024 | 1:07pm
75 London Wall - Foto laman web Castleforge
75 London Wall - Foto laman web Castleforge

Gamuda, Castleforge dapat projek bangun semula 75 London Wall

KUALA LUMPUR: Gamuda Land mengumumkan 75 London Wall, yang sebelum ini dirujuk sebagai Winchester House dan dulunya menjadi ibu pejabat Deutsche Bank di United Kingdom (UK) memperoleh keizinan perancangan penuh bagi pembangunan semula.

Projek itu akan dilaksanakan Gamuda dan pelabur hartanah Castleforge yang pelannya dibangunkan arkitek Orms, akan menyaksikan kapasiti bangunan itu meningkat sebanyak 40 peratus kepada 688,000 kaki persegi sebagai sebahagian daripada usaha sama.

Pembangunan semula penuh dijangka akan siap menjelang suku ketiga 2027.

Ketua Pegawai Eksekutif Gamuda Land, Chu Wai Lune, berkata pemberian persetujuan perancangan penuh menandakan satu langkah penting ke hadapan untuk 75 London Wall.

Beliau berkata, pembinaan kini boleh dimulakan, membolehkan Gamuda dan Castleforge merealisasikan visi untuk tapak, mengubahnya menjadi ruang pejabat premium yang mampan.

"Kelulusan ini menandakan peristiwa penting dalam pembangunan projek. Ia juga mengukuhkan lagi kehadiran Gamuda dalam pasaran pembangunan hartanah UK, di mana ia bertujuan untuk membina portfolio serantau bagi projek hartanah dengan kadar pulangan yang tinggi," katanya dalam satu kenyataan.

Rakan Kongsi Pengasas Castleforge, Michael Kovacs, berkata dalam ketika syarikat mula membawa pekerja kembali ke pejabat, penghuni akan semakin mencari ruang yang membezakan mereka daripada pesaing.

Beliau berkata, pihaknya tidak pernah percaya bahawa berkerja di pejabat sudah 'mati' dan ia terbukti apabila orang ramai kembali ke Central London.

"Ubah suai 75 London Wall yang dirancang akan mewujudkan ruang pejabat terbaik dalam kelasnya, di lokasi utama dengan kemudahan penting yang kini diminta oleh syarikat terkemuka untuk kakitangan mereka.

"Bangunan itu juga akan menetapkan standard baharu untuk kelestarian di ruang pejabat London menjadikan pajakan di sini sebagai kemenangan untuk planet ini dan kemenangan bagi strategi ESG (alam sekitar, sosial dan tadbir urus) penghuni," katanya.

Sementara itu, Pengarah Orms, Colin McColl, berkata 75 London Wall menetapkan titik rujukan baharu untuk naik taraf dan perluasan bangunan ibu pejabat.

Beliau berkata, ia adalah jenis projek yang diperlukan, sensitif terhadap konteks dan menghormati butiran sedia ada, sambil memanfaatkan peluang untuk menambah baik tawaran bangunan, dalam dan luar.

"Visi kami untuk 75 London Wall bukan semata-mata mengenai pembangunan semula, ia mengenai penetapan standard baharu untuk kelestarian, kebolehsuaian dan peningkatan komuniti di tengah-tengah City of London," katanya.

Gamuda berkata, 75 London Wall akan menjadi ruang pejabat kalis masa depan dan lestari, direka untuk mengekalkan bakat terbaik untuk majikan yang menjadi penyewanya.

Ia berkata, skim yang terhasil mengekalkan yang terbaik dari bangunan sedia ada untuk menyampaikan reka bentuk yang bertujuan meminimumkan pelepasan karbon sepanjang hayat, sambil memberikan fleksibiliti, kemudahan dan pencahayaan yang maksimum untuk penghuni.

"75 London Wall menetapkan standard baharu untuk mengekalkan dan mempergiatkan penggunaan bangunan pejabat di City of London. Projek ini akan mengekalkan 89 peratus daripada fabrik binaan sedia ada, termasuk fasad sedia ada di tingkat bawah," katanya.

Gamuda berkata, pejabat akan diubah suai sepenuhnya untuk menyediakan kecekapan tenaga, penginapan gred A+ yang menyasarkan BREEAM 'Outstanding', WELL Core 'Platinum' dan 'NABERS UK 5 Star Design for Performance'.

Multiplex telah dipilih sebagai kontraktor pilihan utama dan telah dilantik di bawah Perjanjian Perkhidmatan Pra-Pembinaan.

Berita Harian X