Isnin, 10 Jun 2024 | 10:51pm
Eco World Development Group Bhd (EcoWorld Malaysia).
Eco World Development Group Bhd (EcoWorld Malaysia).

EcoWorld jual tanah RM402.3 juta di Kulai kepada Microsoft

KUALA LUMPUR: Eco World Development Group Bhd (EcoWorld Malaysia) bercadang untuk melupuskan tanah perindustrian seluas 49.83 hektar di Kulai, Johor Bahru, kepada Microsoft Payments (Malaysia) Sdn Bhd pada harga RM402.3 juta.

Pemaju hartanah itu berkata, anak syarikat milik penuhnya, Eco Business Park 6 Sdn Bhd, menandatangani perjanjian jual beli (SPA) bersyarat dengan Microsoft Payments pada 7 Jun untuk melupuskan tanah itu yang terletak di Eco Business Park VI (EBP VI).

"Sebahagian daripada pelupusan itu akan digunakan untuk membangunkan tanah dan membiayai perbelanjaan berkaitan bagi cadangan penjualan tanah yang dijangka dilakukan dalam tempoh 24 bulan dari tarikh SPA.

"Sebahagian daripada pelupusan itu juga akan diketepikan untuk pembayaran balik pinjaman bank bagi tanah terbabit. Bagaimanapun, pada ketika ini kuantum bagi setiap peruntukan untuk tujuan berkenaan masih belum dimuktamadkan dan dipastikan," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

EcoWorld Malaysia berkata, kumpulan itu akan menggunakan baki sebagai modal kerja selepas mengetepikan semua perbelanjaan yang telah dikhususkan berkenaan.

Pelupusan tanah yang dicadangkan itu merupakan urus niaga pertama untuk EBP VI, kurang dari enam bulan sejak syarikat itu menyelesaikan pengambilalihan tanah berkenaan pada 18 Januari 2024.

"Kumpulan percaya kehadiran peneraju teknologi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa untuk menubuhkan pusat data yang besar di sini akan memacu lagi permintaan untuk produk-produk industri EBP VI yang lain.

"Ia juga akan membolehkan kumpulan memanfaatkan nilai EBP VI dengan pantas bagi mempercepatkan penjanaan aliran tunai daripada projek berkenaan," katanya.

Menurut EcoWorld Malaysia, cadangan pelupusan itu apabila selesai akan meningkatkan rizab tunai kumpulan untuk memperoleh bank tanah baharu yang kini sedang giat diusahakan.

Cadangan bagi penjualan tanah itu dijangka siap pada separuh kedua 2025, tambahnya.

-BERNAMA

Berita Harian X