Isnin, 10 Jun 2024 | 1:35pm
OCBC Malaysia.
OCBC Malaysia.

Pelanggan kad OCBC boleh sahkan transaksi menerusi OneToken

KUALA LUMPUR: Bermula Jumaat ini, pelanggan kad kredit dan debit OCBC Malaysia tidak lagi akan menerima SMS OTP (kata laluan sekali melalui SMS) ketika mahu mengesahkan transaksi, sebaliknya ia hanya boleh dijana menerusi OCBC OneToken.

Menurut bank itu dalam kenyataan hari ini, lebih kurang setahun selepas memindahkan semua pelanggannya kepada kaedah OCBC OneToken yang lebih selamat dan terlindung untuk mengesahkan transaksi perbankan dalam talian, OCBC Malaysia melengkapkan proses ini dengan melaksanakan peralihan yang sama bagi semua transaksi kad kredit dan debit dalam talian.

"Dengan peralihan ini, pelanggan tidak lagi akan menerima SMS OTP daripada pihak bank untuk menentusahkan transaksi kad kredit dan debit dalam talian.

"Justeru, sebarang SMS yang didakwa daripada OCBC tidak perlu dihiraukan sama sekali kerana OTP hanya boleh dijana menerusi OCBC OneToken," katanya.

OCBC Malaysia terdiri daripada OCBC Bank (Malaysia) Bhd (OCBC Bank) dan anak syarikat perbankan Islamnya, OCBC Al-Amin Bank Bhd.

Pengarah Urusan dan Ketua Perkhidmatan Kewangan Pengguna OCBC Bank, Anne Leh, berkata langkah untuk menghentikan sepenuhnya penggunaan SMS OTP untuk mengesahkan transaksi bertujuan memastikan pelanggan dilindungi secara lebih menyeluruh terhadap percubaan melakukan penipuan berkaitan urusan perbankan.

"Dengan pengumuman ini, kami berharap pelanggan akan menikmati tahap keselamatan lebih tinggi apabila menggunakan kad kredit dan debit mereka di dalam talian, lebih-lebih lagi kini dengan peningkatan kes penipuan dalam talian oleh penipu yang mendakwa mereka mewakili bank.

"Untuk memastikan kelancaran pengalaman transaksi kad dalam talian, kami menyeru supaya semua pelanggan yang belum mendaftar untuk khidmat perbankan dalam talian OCBC untuk berbuat demikian serta-merta dan kemudian mengaktifkan OCBC OneToken masing-masing.

"Penipuan dalam talian tidak boleh dipandang ringan atau diabaikan dan kami berharap untuk terus memainkan peranan melindungi pelanggan," katanya.

OCBC Malaysia mula meminta pelanggan untuk bertukar daripada SMS OTP kepada OCBC OneToken yang lebih selamat pada 2022 untuk menjadikannya lebih sukar bagi penipu untuk memperdayakan mereka.

Dengan memperkenalkan OCBC OneToken pada 2019, OCBC Malaysia adalah salah satu pengguna awal token digital.

OCBC OneToken ialah token digital yang didapati dalam aplikasi perbankan mudah alih OCBC Malaysia yang membolehkan pelanggan menjana OTP secara selamat untuk mengesahkan transaksi mereka dalam talian.

Untuk tahap keselamatan tambahan, OCBC OneToken hanya boleh diaktifkan dalam satu telefon bimbit pada satu-satu masa.

Selain menyediakan penentusahan keselamatan dua faktor (2FA), OCBC OneToken mempunyai keupayaan pertahanan sedia terbina untuk mengesan ancaman terhadap telefon mudah alih pelanggan.

Selepas berjaya mengaktifkan OCBC OneToken, pelanggan akan menerima pemberitahuan SMS dan e-mel.

Sebagai perlindungan tambahan, setelah menetapkan OCBC OneToken, pelanggan OCBC Bank hanya boleh menggunakan perkhidmatan perbankan dalam talian OCBC selepas tempoh bertenang 12 jam.

Berita Harian X