Jumaat, 7 Jun 2024 | 2:03pm
Gambar fail. - NSTP/HAZREEN MOHAMAD
Gambar fail. - NSTP/HAZREEN MOHAMAD

Peluang pelabur jana keuntungan daripada 5G - Kenanga Research

KUALA LUMPUR: Pelabur lebih positif mengenai 5G apabila peluang menjana keuntungan yang berlaku daripada penjualan penyelesaian terurus kepada pelanggan perusahaan yang memanfaatkan teknologi 5G, kata Kenanga Research.

Firma penyelidikan itu berkata, selain itu, apabila penerimagunaan kecerdasan buatan generatif (Gen AI) meraih momentum merangkumi perusahaan, ia boleh tampil sebagai pemacu pertumbuhan pendapatan pada masa depan menerusi tawaran awan dengan alatan Gen AI bersepadu.

"Selain itu, pengumuman akan datang mengenai dasar dwirangkaian 5G, pada akhirnya akan menyelesaikan ketidakpastian yang telah mengheret sentimen terhadap sektor itu," katanya dalam nota hari ini, sambil memaklumkan memberi saranan wajaran tinggi terhadap sektor telekomunikasi.

Sementara itu, katanya penyampaian pendapatan sektor itu pada suku pertama bagi musim pelaporan keputusan 2024 adalah selaras dengan jangkaan.

Bagi penggiat mudah alih, perolehan dalam perkhidmatan meningkat satu peratus tahun ke tahun, didorong oleh pengembangan jumlah pelanggan pasca bayar mengikut ramalan Maxis Bhd.

Keadaan ini dapat mengimbangi penyusutan dalam segmen mudah alih CelcomDigi Bhd, yang telah diseret turun oleh pengurangan dalam kadar saling sambung, trafik pemesejan pukal dan penggunaan.

Bagi pemain tetap seperti Telekom Malaysia, pertumbuhan perolehannya didorong oleh lonjakan permintaan terhadap perkhidmatan lebar jalur borong global dan domestik.

Trend suku ke suku bagi segmen pascabayar pula kekal memberangsangkan pada suku pertama 2024 dengan jaringan pelanggan berterusan yang menambah daya tarikan.

"Bagaimanapun, kemerosotan berterusan purata hasil bagi setiap pengguna (ARPU) pascabayar masih berlaku, kemungkinan disebabkan pengenalan pelan permulaan yang lebih murah. Sebaliknya, pasaran prabayar terus mencabar pada suku pertama 2024, apabila jumlah pelanggan dan ARPU berkurangan secara seiring," katanya. – Bernama

Berita Harian X