Khamis, 6 Jun 2024 | 3:59pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) melakukan gimik perasmian sambil diperhatikan Menteri Digital, Gobind Singh Deo (dua dari kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Boost Bank, Fozia Amanulla (dua dari kanan) ketika majlis perasmian Boost Bank di Kuala Lumpur. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) melakukan gimik perasmian sambil diperhatikan Menteri Digital, Gobind Singh Deo (dua dari kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Boost Bank, Fozia Amanulla (dua dari kanan) ketika majlis perasmian Boost Bank di Kuala Lumpur. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

Bank digital Boost Bank dilancarkan secara rasmi

KUALA LUMPUR: Boost Bank oleh Axiata dan RHB (Boost Bank) dilancarkan secara rasmi hari ini.

Pelancaran itu seiring dengan pengenalan aplikasi Boost Bank dengan pengalaman 'embedded onboarding' pertama yang kini dibuka untuk kegunaan awam.

Ia adalah satu ciri unik yang mana setiap pengguna Premium Wallet sedia ada di aplikasi eDompet Boost kini boleh membuka akaun Boost Bank dengan mudah melalui proses onboarding yang lancar.

Ini sekali gus meletakkan Boost Bank sebagai perintis 'embedded banking' yang serasi dan sesuai dengan rutin harian penduduk Malaysia.

Aplikasi Boost Bank itu kini boleh dimuat turun di Apple App Store dan Google Play Store.

Ketua Pegawai Eksekutif Boost Bank, Fozia Amanulla, berkata kerjasama unik antara Boost dan RHB Banking Group (RHB) menjadikan Boost Bank, bank digital pertama dalam pasaran menggabungkan pendekatan teknologi kewangan (fintech) yang mengutamakan inovasi teknologi dengan kepercayaan dan kestabilan institusi kewangan yang besar.

Beliau berkata, bank digital itu adalah antara sekelompok kecil bank di Malaysia yang membolehkan pengguna yang tidak memiliki akaun bank untuk melakukan transaksi perbankan secara digital.

Katanya, kemudahan yang ditawarkan adalah seiring dengan misinya untuk memenuhi keperluan kelompok masyarakat yang kurang akses atau tanpa akses kepada perkhidmatan kewangan.

Jelasnya, strategi pihaknya akan tumpu kepada ekosistem sedia ada Boost dengan sasaran pelanggan adalah mereka yang berada dalam ekosistem sedia ada Boost.

"Melihat kepada perjalanan Boost, kami mempunyai sebilangan pelanggan individu dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). Kini, kami mempunyai kira-kira 10 juta pelanggan.

"Oleh itu, mereka akan menjadi sasaran segera kami," katanya pada sidang media selepas pelancaran aplikasi Boost Bank dengan pengalaman 'embedded onboarding' pertama yang kini dibuka untuk kegunaan awam di sini, hari ini.

Pelancaran itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Hadir sama, Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Pengerusi Boost Bank, David Lau.

Fozia berkata, selain ekosistem sedia ada Boost Bank, pihaknya juga akan bekerjasama dengan rakan kerja jangka panjang yang berkembang bersama dari tahun demi tahun untuk melancarkan penyelesaian perbankan digital kepada pasaran.

Beliau berkata, dalam bulan-bulan yang mendatang, pengguna boleh menikmati promosi yang dibawa bersama rakan kerja di Sabah dan Sarawak termasuk CelcomDigi, MYDIN, Bataras Sdn Bhd, CKS RETAIL Sdn Bhd, FARLEY (KCH) Sdn Bhd, Servay Hypermarket (Sabah) Sdn Bhd dan Boulevard Hypermarket serta Departmental Store Sdn Bhd.

Katanya, dengan kerjasama itu, Boost Bank akan memenuhi keperluan kewangan golongan kurang akses dan tanpa akses kepada perkhidmatan perbankan dengan menyediakan ganjaran dan penjimatan untuk keperluan harian.

Tambahnya, pengguna juga boleh menantikan kadar faedah promosi yang lebih tinggi dengan rakan kerja pelancaran yang akan diumumkan tidak lama lagi.

Boost Bank berkata, program kesetiaan Boost yang memenangi anugerah dikenali sebagai BoostUP diterima dengan baik oleh pengguna sejak diperkenalkan beberapa tahun yang lalu.

Bagi memantapkan cadangan nilai utama yang ditawarkan, bank digital itu akan melancarkan kategori eksklusif 'Platinum President' untuk pengguna yang membuka akaun Boost Bank dan memenuhi kriteria tertentu.

Pengguna hanya perlu membuat deposit minimum sebanyak RM2000 ke dalam Tabung Simpanan dan/atau Akaun Simpanan Boost Bank, di mana mereka boleh menerima kadar faedah sehingga 3.6 peratus setiap tahun dari sekarang hingga 31 Ogos.

Selepas tempoh promosi, kadar faedah harian standard Tabung Simpanan adalah 3.2 peratus setahun untuk pengguna 'Platinum President'.

Pengguna yang meningkat ke kategori 'Platinum President' di aplikasi Boost Bank akan dinaik taraf secara automatik kepada kategori tertinggi di aplikasi eDompet Boost serta menerima sehingga '3X Boost Stars' untuk setiap ringgit yang dibelanjakan dalam transaksi layak, apabila kedua-dua aplikasi dihubungkan.

Simpanan di aplikasi Boost Bank boleh digunakan untuk melakukan pindahan DuitNow, termasuk kepada aplikasi eDompet Boost, di mana ia boleh digunakan untuk bayaran kod QR dan transaksi dalam talian di seluruh negara.

Berita Harian X