Rabu, 5 Jun 2024 | 4:52pm
PayNet berhasrat menjadi syarikat pembayaran digital yang dikagumi di peringkat global.
PayNet berhasrat menjadi syarikat pembayaran digital yang dikagumi di peringkat global.

Duitnow QR boleh diguna di Korea tidak lama lagi

KUALA LUMPUR: Kemudahan Duitnow QR mungkin boleh digunakan di Korea Selatan tidak lama lagi apabila kaedah pembayaran itu sedang dirancang hasil perkongsian antara Payments Network Malaysia (PayNet) dengan BC Card.

Rancangan itu adalah fasa kedua perkongsian sulung antara PayNet dengan BC Card yang membolehkan pelanggan syarikat pemprosesan pembayaran terbesar di Korea Selatan itu membuat pembayaran QR secara terus ketika berbelanja di Malaysia.

Menerusi perkongsian ini, pengguna BC Card boleh menggunakan dana daripada akaun mereka tanpa memerlukan pertukaran mata wang atau tambah nilai berasingan, dan perkongsian ini adalah yang pertama untuk mana-mana institusi kewangan Korea Selatan dengan PayNet.

PayNet dalam satu kenyataan berkata, fasa pertama kerjasama itu akan membolehkan pengunjung dari Korea Selatan mendapat akses kepada lebih daripada dua juta titik sentuh pedagang DuitNow QR.

"Pengaktifan ini tepat pada masanya kerana Malaysia telah menerima sejumlah 400,853 pelancong dari Korea Selatan pada 2023 dan menjangkakan lebih banyak ketibaan bertepatan dengan Tahun Melawat Malaysia 2026, sekali gus menyumbang kepada sasaran kempen sebanyak 35.6 juta ketibaan pelancong antarabangsa," katanya.

Korea Selatan ialah pasaran utama dalam pertumbuhan pembayaran digital.

Menurut data yang dikeluarkan oleh Bank of Korea, jumlah pembayaran yang dibuat melalui peranti mudah alih pada 2023 mencecah 1.47 trilion Korea Won (RM5 bilion), mewakili peningkatan 10.8 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Ini menyumbang 50.5 peratus daripada jumlah keseluruhan pembayaran, melebihi pembayaran yang dibuat melalui kad fizikal, yang berjumlah 1.44 trilion won.

Malaysia akan menjadi negara Asia Tenggara ketiga selepas Indonesia dan Vietnam pengguna BC Card mempunyai kemudahan ini, sekali gus meningkatkan potensi untuk membina rangkaian pembayaran ASEAN untuk warga Korea Selatan.

Ketua Eksekutif Kumpulan PayNet, Farhan Ahmad, berkata penerbangan antara Malaysia dan Korea Selatan semakin bertambah akan meningkatan keperluan untuk prosedur pembayaran digital yang lebih mudah untuk menggalakkan perbelanjaan dalam kalangan pelawat dari kedua-dua negara.

"Kami berbesar hati untuk mempunyai BC Card sebagai rakan kongsi dalam perjalanan untuk membangunkan pengalaman pembayaran digital yang lancar dan bersepadu untuk pelawat Korea Selatan ke Malaysia.

"Dengan memajukan teknologi pembayaran bersama-sama, kami memperkasakan individu dan perniagaan untuk berkembang maju dalam dunia yang mengutamakan digital.

"Melalui usaha bersama ini, saya tidak sabar untuk melihat pelancaran DuitNow QR di Korea Selatan. Ini akan menyumbang kepada cita-cita PayNet untuk menjadi syarikat pembayaran digital yang dikagumi di peringkat global yang mengejar rangkuman kewangan di seluruh dunia," katanya.

Berita Harian X