Isnin, 3 Jun 2024 | 1:05pm
Farm Fresh Bhd.
Farm Fresh Bhd.

Farm Fresh sasar kuasai lima peratus pasaran aiskrim

KUALA LUMPUR: Farm Fresh Bhd menyasarkan untuk menguasai lima peratus bahagian dalam pasaran aiskrim di Malaysia yang bernilai RM1.2 bilion hingga RM1.3 bilion dalam masa dua tahun.

Penganalisis RHB Investment Bank, Soong Wei Siang, berkata Farm Fresh akan melancarkan produk aiskrim dalam bungkusan pengguna pada Ogos ini.

Beliau berkata, Farm Fresh akan memanfaatkan rangkaian perniagaan Sin Wah Ice Cream dan menetapkan harga rendah buat produk supaya dapat bersaing dengan syarikat-syarikat sedia ada.

"Sementara itu, kami difahamkan bahawa unit perniagaan di Australia mengalami kenaikan jualan eksport yang kukuh ke rantau Asia Barat. Menuju ke hadapan, perkara ini akan meningkatkan kadar penggunaannya dan mendorong pemulihan perolehan," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Beliau berkata, keputusan kewangan yang dicatatkan oleh Farm Fresh bagi tahun kewangan 2024 dilihat menepati jangkaan disebabkan oleh pertumbuhan pendapatan kasar berterusan dan pemulihan margin yang kukuh ekoran penyusutan kos input.

Katanya, prospek pertumbuhan Farm Fresh dilihat menarik apabila diperkukuh oleh pelbagai pelancaran produk, sementara faktor penggalak untuk kos sewajarnya terus menyokong pemulihan margin.

"Kami tetap menggemari Farm Fresh disebabkan oleh pelan pengembangannya yang pelbagai hala dan bermatlamat tinggi, nilai jenama kukuh, dan segmen pasaran yang ia ceburi untuk menggarap permintaan daripada pengguna dengan kesedaran lebih tinggi mengenai kesihatan," katanya.

Farm Fresh merekodkan keuntungan bersih teras sebanyak RM63 juta, meningkat 10 peratus daripada tahun kewangan sebelumnya, merangkumi 98 hingga 102 peratus daripada ramalan RHB Investment Bank dan konsensus.

Secara tahun ke tahun, hasil bagi tahun kewangan 2024 melonjak 29 peratus kepada RM810 juta, khususnya didorong oleh pertumbuhan jumlah jualan UHT yang kukuh, peningkatan jualan dalam industri perkhidmatan makanan dan perhotelan (HORECA), selain sumbangan daripada anak-anak syarikat yang baru diambil alih.

Margin untung kasar (GPM) tahun kewangan 2024 pula pulih dengan kukuhnya sebanyak 10.1 mata peratusan kepada 30.4 peratus disebabkan oleh kos bahan mentah utama yang menurun dan sumbangan daripada Inside Scoop.

Faktor terbabit berjaya mengimbangi kenaikan perbelanjaan operasi sebanyak 51 peratus yang ditampung untuk tujuan pengembangan perniagaan, membolehkan keuntungan bersih teras meningkat sebanyak 10 peratus.

Berbanding suku terdahulu, hasil diraih Farm Fresh pada suku keempat tahun kewangan 2024 menokok dua peratus apabila apabila pertumbuhan mantap yang direkodkan di Malaysia sebanyak enam peratus menutup bebanan akibat penurunan mendadak 25 peratus yang berlaku di Australia disebabkan oleh penutupan penyelenggaraan kilang selama seminggu.

Di samping penutupan ini, kos suapan yang lebih mahal dalam operasi perniagaan di Malaysia akibat cuaca yang teramat panas menyebabkan momentum pemulihan GPM terhenti dan keuntungan bersih teras bagi suku keempat tahun kewangan 2024 mendatar mencecah RM22 juta.

RHB Investment Bank mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham Farm Fresh, dengan harga sasaran dinaikkan kepada RM1.69 daripada RM1.65.

Berita Harian X