Ahad, 2 Jun 2024 | 12:30pm
Berjaya Corporation Bhd.
Berjaya Corporation Bhd.

Berjaya Corp catat untung bersih lebih besar RM694.58 juta

KUALA LUMPUR: Berjaya Corporation Bhd mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM694.58 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Mac 2024, melonjak ketara daripada RM3.26 juta dicatatkan pada suku sama tahun lalu.

Peningkatan ketara itu dipacu oleh keuntungan daripada penjualan anak syarikat berjumlah RM497.91 juta.

Pendapatan syarikat turut meningkat kepada RM2.78 bilion daripada RM2.5 bilion sebelumnya, kebanyakannya disebabkan sumbangan lebih tinggi daripada semua segmen kecuali peruncitan makanan.

Menurut Berjaya Corp dalam satu kenyataan, keputusan yang bertambah baik itu juga disebabkan oleh keuntungan daripada pengukuran semula kepentingan ekuiti yang dikekalkan dalam bekas anak syarikat berjumlah kira-kira RM154.05 juta.

Katanya, segmen hartanah melaporkan pendapatan lebih tinggi pada suku semasa, kebanyakannya disebabkan oleh jualan lebih tinggi bagi unit kediaman di luar negara berbanding suku sama tahun sebelumnya.

"Manakala pendapatan segmen hospitaliti yang lebih tinggi didorong oleh kadar purata keseluruhan bilik lebih tinggi dan kadar penghunian keseluruhan lebih tinggi.

"Segmen perkhidmatan mencatatkan pendapatan lebih tinggi disebabkan pendapatan lebih tinggi direkodkan daripada perkhidmatan rangkaian telekomunikasi terurus (MTNS) dan perniagaan awan dan Intenet Pelbagai Perkara (IoT)," katanya.

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Mac 2024, Berjaya Corp mencatatkan keuntungan bersih RM594.03 juta daripada kerugian bersih RM37.97 juta bagi tempoh sembilan bulan pada 2023 manakala pendapatan meningkat kepada RM7.58 bilion berbanding RM7.08 bilion sebelumnya.

Syarikat itu berkata, pendapatan yang bertambah baik dalam tempoh dikaji adalah disebabkan oleh sumbangan lebih tinggi daripada semua segmen perniagaan.

Mengenai prospek, Berjaya Corp berkata pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka didorong oleh permintaan domestik yang kukuh dan kadar inflasi purata yang sederhana walaupun terdapat ketidaktentuan yang timbul daripada ketegangan geo-politik.

"Kumpulan akan memantau perkembangan politik global dan tempatan semasa di negara di mana kami mempunyai operasi perniagaan.

"Dengan mengambil kira perkara yang dinyatakan di atas dan tanpa mengambil kira sebarang keadaan yang tidak dijangka, ahli lembaga pengarah yakin tetapi pada masa sama bersikap berhati-hati bahawa jangkaan prestasi operasi perniagaan kumpulan bagi baki suku tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 adalah memuaskan," katanya.

Berita Harian X