Jumaat, 31 Mei 2024 | 12:24pm

Rapid Rail catat rekod kendali lebih sejuta penumpang sehari

Oleh Mohd Zaky Zainuddin

KUALA LUMPUR: Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) selaku pengendali perkhidmatan transit aliran ringan (LRT), Monorel dan transit aliran massa (MRT) di Lembah Klang mengendalikan lebih sejuta penumpang dalam sehari pada 29 Mei 2024 (Rabu), jumlah tertinggi yang pernah dicapai sejak penubuhannya.

Berdasarkan pecahan, Laluan Kelana Jaya mencatatkan bilangan penumpang sebanyak 287,102, Laluan Ampang/Sri Petaling 224,184, Laluan Monorel 61,236, Laluan Kajang 274,302 dan Laluan Putrajaya 157,767 menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 1,004,591 penumpang iaitu peningkatan lebih 35 peratus berbanding tarikh sama pada 2023 (739,818 penumpang).

Rapid Rail berkata, lonjakan penumpang itu dipacu dengan beberapa inisiatif yang digerakkan seperti proses penambahan kapasiti tren di Laluan Kelana Jaya dan Laluan Kajang.

"Selain itu, pembukaan semula perkhidmatan tren di antara Stesen Masjid Jamek dan Stesen Bandaraya bagi Laluan Ampang/Sri Petaling pada 17 Februari lalu akibat kerosakan struktur jejambat, serta pembukaan beberapa lokasi tarikan baru di sepanjang jajaran rel turut memacu peningkatan penumpang," katanya dalam satu kenyataan.

Rapid Rail berkata, beberapa acara berskala besar yang diadakan di sekitar stesen rel dan musim cuti sekolah turut menyumbang kepada peningkatan jumlah penumpang.

"Rapid Rail amat berbangga kerana sasaran membawa sejuta penumpang sehari berjaya dicapai enam bulan lebih awal daripada jangkaan yang ditetapkan. Ini juga bukti sokongan padu khususnya daripada warga Lembah Klang yang setia menggunakan perkhidmatan rel pada setiap hari.

"Segala usaha penambahbaikan yang dilakukan oleh Rapid Rail selama ini juga seiring dengan aspirasi kerajaan dalam memajukan sektor perkhidmatan pengangkutan awam ke tahap lebih baik.

"Kesungguhan dan komitmen jurutera dan barisan hadapan Rapid Rail dalam menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan untuk menyediakan bilangan tren yang mencukupi serta memastikan kelancaran dan kestabilan perkhidmatan untuk manfaat pengguna," katanya.

Rapid Rail berkata, kejayaan yang dicapai itu juga menjadi satu perkembangan yang positif selaras dengan visi dan misi syarikat induknya, Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) dalam memajukan mobiliti dan memperkayakan pengalaman pengguna pengangkutan awam.

"Kejayaan ini akan menjadi titik pengukur baharu untuk Rapid Rail sentiasa menyediakan perkhidmatan yang lebih baik serta dapat menarik lebih ramai pengguna untuk beralih kepada pengangkutan awam pada masa hadapan," katanya.

Berita Harian X