Khamis, 30 Mei 2024 | 9:24pm
Gambar fail. Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB). NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Gambar fail. Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB). NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

Untung bersih suku pertama MAHB melonjak 226 peratus

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2024, meningkat sebanyak 226 peratus kepada RM189.99 juta daripada RM58.19 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Peningkatan ketara ini disebabkan oleh hasil yang lebih tinggi dan pendapatan lain, ditambah dengan bahagian sumbangan keuntungan yang lebih baik daripada syarikat bersekutu dan usaha sama.

Hasil bagi suku tersebut meningkat kepada RM1.35 bilion daripada RM1.03 bilion, kenaikan 31 peratus didorong oleh jumlah penumpang yang lebih tinggi daripada operasi syarikat penerbangan baharu, musim cuti sekolah, musim perayaan Tahun Baru Cina dan pelaksanaan pengecualian visa 30 hari untuk pelancong China dan India ke Malaysia.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat pengurusan lapangan terbang itu berkata ia kembali mencatat dan mengekalkan keuntungan serta aliran tunai positifnya untuk lima suku lepas, sejajar dengan pemulihan trafik.

"Selaras dengan unjuran trafik yang positif dan permintaan yang semakin meningkat untuk perjalanan udara, MAHB telah meletakkan pelaburan penting dan signifikan bagi menggantikan aset yang uzur dan memodenkan lapangan terbang di bawah kendaliannya.

"Perjanjian operasi (OA baharu) yang ditandatangani baru-baru ini dengan kerajaan, melibatkan pelanjutan tempoh operasi MAHB hingga 2069, menyediakan rangka kerja pemulihan pelaburan yang jelas untuk MAHB.

"Ini untuk meneruskan pembangunan lapangan terbang yang berdaya maju, yang akan memberi manfaat kepada penumpang dan negara, serta sebagai menyediakan peluang pertambahan pendapatan yang berharga kepada kumpulan," katanya.

MAHB berkata pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang akan menjadi serahan pertama di bawah OA baharu, menyaksikan kumpulan itu bersetuju dengan kerajaan mengenai mekanisme pemulihan, berdasarkan kadar pulangan yang telah dipersetujui sebelumnya.

Syarikat itu berkata prestasi mereka bagaimanapun mungkin terjejas oleh ketersediaan pesawat dan faktor makroekonomi seperti inflasi global dan potensi kenaikan harga bahan api serta risiko geopolitik.

"Kami kekal teguh dalam mengoptimumkan kos kami, dengan kos teras bagi setiap penumpang kami dijangka terus bertambah baik seiring dengan pertumbuhan penumpang.

"Kami juga memantau dengan teliti konflik yang berlaku di Asia Barat dan kemungkinan kesan ke atas operasi serta kos kami apabila syarikat penerbangan perlu mengalihkan penerbangan untuk mengelak terbang di ruang udara tertentu," katanya.

– Bernama

Berita Harian X