Rabu, 29 Mei 2024 | 10:58pm
Ajinomoto (Malaysia) Bhd.
Ajinomoto (Malaysia) Bhd.

Ajinomoto rekod keuntungan lebih besar RM401.42 juta

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Ajinomoto (Malaysia) Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024 melonjak kepada RM401.42 juta daripada RM27.49 juta yang dicatatkan pada tahun kewangan sebelumnya.

Perolehan meningkat kepada RM636.45 juta daripada RM603.75 juta sebelumnya berikutan peningkatan hasil daripada segmen perniagaan pengguna dan perniagaan industri.

Syarikat itu berkata dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini bahawa pendapatan suku keempat turun kepada RM152.7 juta berbanding RM157.9 juta pada suku yang sama tahun lalu.

"Perolehan segmen perniagaan pengguna pada suku semasa ialah RM116.1 juta berbanding pendapatan RM122.1 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lalu disebabkan volum jualan Aji-no-moto yang lebih rendah dalam pasaran domestik dan eksport," katanya.

Bagaimanapun, syarikat itu berkata, pendapatan segmen perniagaan industri lebih tinggi pada suku semasa sebanyak RM36.6 juta berbanding pendapatan RM35.8 juta pada suku yang sama tahun lalu, disumbangkan oleh volum jualan produk perasa industri yang lebih tinggi.

Syarikat mencatatkan keuntungan sebanyak RM391.4 juta daripada pelupusan aset yang dipegang untuk jualan pada suku semasa.

Mengenai prospek, Ajinomoto berkata tekanan ekonomi akibat konflik geopolitik terus memberi kesan ke atas kos import dan margin keuntungannya, justeru ia akan memantau dan mengkaji dengan teliti impak kepada perniagaan dan akan mengambil tindakan sewajarnya untuk mengekalkan margin dan keuntungan.

Sementara itu, ia menambah bahawa seperti yang diumumkan pada 2 Mei 2024, pengarah mengisytiharkan dividen satu peringkat khas sekali bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025 sebanyak RM2.12 sesaham biasa, dengan jumlah dividen yang perlu dibayar sebanyak RM128,892,892.

Tarikh pembayaran dividen satu peringkat khas sekali ialah 30 Mei 2024.

-BERNAMA

Berita Harian X