Rabu, 29 Mei 2024 | 9:57pm
Capital A Bhd - NSTP/ASYRAF HAMZAH
Capital A Bhd - NSTP/ASYRAF HAMZAH

Capital A alami kerugian bersih RM91.55 juta

KUALA LUMPUR: Capital A Bhd mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM91.55 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2024 berbanding keuntungan bersih RM57.09 juta pada tempoh yang sama tahun lalu disebabkan kerugian pertukaran asing.

Bagaimanapun, pendapatan meningkat kepada RM5.24 bilion daripada RM2.53 bilion sebelumnya, disumbang terutamanya daripada pemulihan kukuh permintaan terhadap perjalanan domestik dan juga antarabangsa, kata Capital A dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

"Kira-kira 20 peratus daripada kumpulan pesawat (167 pesawat yang beroperasi pada akhir Mac 2024) tidak beroperasi pada suku terbabit, susut nilai dan kos kewangan bagi pesawat bukan operasi dibentangkan di bawah keuntungan operasi bersih dalam penyata pendapatan disatukan," katanya.

Sementara itu, kumpulan tersebut berkata bagi suku pertama, 89 peratus daripada hasil kumpulan disumbang oleh segmen penerbangan manakala perniagaan logistik, digital dan lain-lain menyumbang baki 11 peratus.

Menurutnya, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang positif sebanyak RM1.03 bilion pada suku pertama 2024 berbanding EBITDA sebanyak RM502.2 juta pada suku pertama 2023, didorong oleh peningkatan prestasi keseluruhan segmen penerbangan.

Mengenai prospek penerbangan, kumpulan itu menjangka permintaan yang stabil pada 2024 selepas berakhirnya tempoh kemuncak perjalanan.

"Menjelang akhir tahun, kami menyasarkan 202 pesawat kami beroperasi, meningkatkan kapasiti kami untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat di seluruh rangkaian kami yang semakin berkembang," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X