Isnin, 27 Mei 2024 | 9:16pm
Tunku Aminah (kiri) pada majlis pelancaran Berjaya Mutual di Kuala Lumpur, hari ini -NSTP /GENES GULITAH
Tunku Aminah (kiri) pada majlis pelancaran Berjaya Mutual di Kuala Lumpur, hari ini -NSTP /GENES GULITAH

Berjaya Mutual sasar aset di bawah pengurusan RM5 bilion

KUALA LUMPUR: Berjaya Mutual Sdn Bhd (dahulunya Inter-Pacific Asset Management Sdn Bhd) menyasarkan untuk meningkatkan aset di bawah pengurusan (AUM) kepada RM5 bilion menjelang 2026 daripada RM1.2 bilion pada masa ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Berjaya Mutual, Eugene Chew Boon Chye, berkata syarikat itu, yang telah melancarkan tiga dana bulan ini dengan sasaran AUM sebanyak RM100 juta, merancang untuk melancarkan dua lagi produk pada bulan depan dan tiga lagi pada separuh kedua tahun ini.

Lima produk akan datang itu dijangka menjana di antara RM200 juta dan RM300 juta dalam AUM, katanya pada sidang media selepas pelancaran Berjaya Mutual di sini, hari ini.

"Kami juga telah merancang untuk melancarkan lebih banyak produk pada dua tahun akan datang, dengan lebih banyak produk inovatif seperti aset-aset digital dan produk-produk berstruktur bersama rakan kongsi strategik.

"Inilah cara kami untuk menembusi pasaran, terutamanya dari segi segmen-segmen yang tidak mendapat perkhidmatan dan kurang mendapat perkhidmatan," katanya.

Boon Chye berkata, syarikat itu juga merancang untuk memperkenalkan lebih banyak produk patuh syariah dengan ciri-ciri wakaf pada masa hadapan.

"Ini akan membolehkan pelabur kami bukan sahaja melabur untuk memperoleh pulangan bagi diri mereka sendiri, tetapi juga memberi mereka peluang melakukan sumbangan melalui wakaf," tambahnya.

Berjaya Mutual hari ini mengumumkan penjenamaan semulanya daripada Inter-Pacific Asset Management Sdn Bhd.

Pengerusi Berjaya Mutual, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim Ismail dalam ucapan pelancaran penjenamaan semula itu berkata, syarikat berkenaan menyasarkan untuk menjadi syarikat pengurusan aset terkemuka di negara ini, menawarkan produk pelaburan unik yang disesuaikan untuk rakyat Malaysia.

"Syarikat akan dipandu oleh tiga pemacu utama, yang menyediakan akses kepada pelaburan untuk semua, mewujudkan diri kami sebagai rakan kongsi yang dipercayai dan menggabungkan falsafah pelaburan yang disesuaikan dan inovatif," kata Tunku Aminah.

-BERNAMA

Berita Harian X