Rabu, 22 Mei 2024 | 2:27pm
Lagenda Properties Bhd.
Lagenda Properties Bhd.

Lagenda Properties beli tiga bidang tanah di Kedah

KUALA LUMPUR: Lagenda Properties Bhd akan membeli tiga bidang tanah pegangan bebas di Kuala Muda, Kedah, pada harga RM148.98 juta.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Lagenda Properties berkata anak syarikat milik penuhnya, Blossom Eastland Sdn Bhd, memeterai perjanjian jual beli (SPA) dengan Hock Lean Rubber Estate Sdn Bhd untuk memperoleh plot tanah seluas 346 hektar.

Ia berkata, cadangan pengambilalihan itu memberi peluang kepada kumpulan itu untuk menambah sumber tanah bagi meningkatkan kehadiran Lagenda Properties di Kedah sebagai pemaju hartanah dalam segmen khusus pembangunan perbandaran mampu milik.

"Memandangkan lokasi tanah subjek berhampiran sempadan Kedah-Pulau Pinang, cadangan pengambilalihan ini membolehkan Kumpulan Lagenda Properties memanfaatkan permintaan pembeli yang tinggi dari kedua-dua Kedah dan Pulau Pinang seperti yang ditunjukkan oleh permintaan tinggi untuk pembangunan Darulaman Lagenda oleh kumpulan," katanya.

Kumpulan itu juga berkata, lokasi strategik tanah subjek berhampiran sempadan Kedah-Pulau Pinang bersedia untuk memacu potensi pembangunan perbandaran perumahan mampu milik berskala besar bagi menjana pendapatan mampan sepanjang tempoh pembangunan.

Ia berkata, cadangan pengambilalihan itu dijangka tidak mempunyai sebarang kesan material ke atas pendapatan dan aset bersih sesaham syarikat dan kumpulan itu bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.

-BERNAMA

Berita Harian X