Rabu, 22 Mei 2024 | 1:11pm
KITA @ Cybersouth antara projek yang menyumbang kepada hasil diraih oleh LBS -NSTP/AIZUDDIN SAAD
KITA @ Cybersouth antara projek yang menyumbang kepada hasil diraih oleh LBS -NSTP/AIZUDDIN SAAD

LBS catat keuntungan RM30.53 juta pada suku pertama

KUALA LUMPUR: LBS Bina Group Bhd (LBS), pemaju hartanah terkemuka pilihan rakyat melaporkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan bukan kawalan (PATMI) sebanyak RM30.53 juta bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, disokong oleh hasil sebanyak RM342.1 juta.

Berbanding PATMI suku pertama pada tahun sebelumnya iaitu sebanyak RM30.5 juta, keputusan suku pertama tahun ini menunjukkan konsistensi dalam prestasi kewangan yang mantap dan strategi kewangan yang efektif.

Segmen pembangunan hartanah menyumbang sebanyak 96 peratus daripada jumlah hasil kumpulan, yang diraih menerusi projek pembangunan utamanya di Lembah Klang termasuk LBS Alam Perdana, KITA @ Cybersouth, Prestige Residence dan projek Rumah Idaman.

Secara signifikannya, segmen hartanah mengalami pertumbuhan ketara sebanyak 19 peratus dalam keuntungan selepas cukai (PAT), mencapai jumlah RM42.6 juta.

Mengulas mengenai prestasi kewangan ini, Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Dr Lim Hock San, berkata kecekapan operasi dan usaha mengoptimumkan kos terbukti dengan peningkatan margin PATMI yang lebih baik, dengan peningkatan daripada lapan peratus kepada sembilan peratus bagi suku dalam tinjauan.

Beliau berkata, ini memberi penanda aras kepada langkah progresif LBS di dalam mengekalkan margin keuntungan yang stabil.

Katanya, selaras dengan langkah strategik dan komitmen LBS untuk meningkatkan landskap hartanah, kumpulan melancarkan tiga projek utama dengan nilai keseluruhan sebanyak RM1.12 bilion.

Pelancaran ini, kata Hock San termasuk Projek Pangsapuri dan Rumah Bandar BSP Sutera yang bernilai RM207 juta, Projek Pangsapuri Perkhidmatan SkyRia di Puchong dengan nilai sebanyak RM265 juta, dan juga Projek Alam Perdana Central Hub (kilang berkembar dan kilang teres) di Alam Perdana yang menyumbang kepada jumlah keseluruhan sebanyak RM648 juta.

"LBS turut teruja untuk mengumumkan bahawa unit kilang berkembar dan teres di Alam Perdana Central Hub yang telah dilancarkan baru-baru ini, menyaksikan kadar pengambilan sebanyak 50 peratus," katanya dalam satu kenyataan.

Hock San berkata, berfungsi sebagai elemen perindustrian pusat, projek ini dilihat sebagai pemangkin kepada sektor logistik dan pergudangan yang semakin berkembang, didorong dengan lonjakan e-dagang.

"Sebagai pemaju hartanah yang berpengalaman dalam segmen kediaman dan komersial, kilang Alam Perdana Central Hub mencerminkan keupayaan kami untuk bertindak di samping merebut peluang dalam segmen perindustrian.

"Ini didorong oleh permintaan pasaran Malaysia yang kukuh dan peningkatan dalam pelaburan sektor pembuatan, logistik dan teknologi, yang memerlukan ruang industri secara khusus.

"Dengan perancangan tepat dan kedudukan strategik, kami memanfaatkan kepakaran LBS dalam pembangunan hartanah untuk mewujudkan ruang industri yang bersesuaian bagi memenuhi keperluan perniagaan yang semakin berkembang. Pelancaran baharu ini dijangka menyumbang secara positif bagi tempoh tiga tahun akan datang," katanya.

Berita Harian X