Rabu, 22 Mei 2024 | 12:46pm
Datuk Azmir Merican.
Datuk Azmir Merican.

Untung bersih Sime Darby Property meningkat dua kali ganda

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Sime Darby Property Bhd meningkat dua kali ganda kepada RM123.58 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2024 daripada RM60.67 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lalu.

Hasil juga meningkat sebanyak 42.8 peratus kepada RM978.69 juta daripada RM685.33 juta sebelumnya, dengan semua segmen menyumbang kepada pertumbuhan hasil kumpulan.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata penyumbang paling ketara ialah segmen pembangunan hartanah, dengan peningkatan 45.4 peratus, diikuti segmen pelaburan dan pengurusan aset serta segmen rekreasi masing-masing pada 10.7 peratus dan 7.6 peratus.

Sime Darby Property berkata, segmen pembangunan hartanah menyumbang 94.6 peratus atau RM925.6 juta daripada jumlah hasil kumpulan, dengan pertumbuhan 45.4 peratus daripada RM636.8 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.

"Keuntungan segmen itu yang membanggakan sebanyak RM177 juta mencerminkan campuran produk yang semakin pelbagai dengan sumbangan yang lebih tinggi daripada produk perindustrian menerusi pelancaran dan momentum jualan yang mantap baru-baru ini.

"Keputusan segmen yang luar biasa pada suku semasa juga didorong oleh jualan produk kediaman dengan peningkatan aktiviti pembangunan di tapak di Bandar Bukit Raja, Serenia City, Ara Damansara, Putra Heights, SJ7 dan perbandaran Elmina Business Park, ditambah dengan sumbangan daripada pengewangan tanah di Kedah," katanya.

Selain itu, kumpulan berkenaan berkata, segmen pelaburan dan pengurusan aset mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 10.7 peratus daripada RM26.2 juta kepada RM29.1 juta pada suku semasa, terutama didorong oleh subsegmen runcit.

"Pertumbuhan dalam hasil subsegmen runcit disokong oleh peningkatan dalam kadar penghunian daripada 85 peratus kepada 90 peratus dan peningkatan jumlah pengunjung ke KL East Mall," katanya.

Di samping itu, ia menyatakan segmen rekreasi menyaksikan sumbangan hasil yang lebih tinggi melalui keahlian dan aktiviti bermain golf, dengan hasil meningkat sebanyak 7.6 peratus kepada RM24 juta berbanding RM22.3 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Azmir Merican, berkata prestasi suku pertama kumpulan mengatasi jangkaan kewangan dan operasi.

"Kami secara aktif mempelbagaikan produk dan aliran pendapatan kami. Pada suku ini, segmen perindustrian kami muncul sebagai penyumbang utama kepada prestasi jualan keseluruhan kami," katanya.

Mengenai prospek, Sime Darby Property berkata ia menjangkakan prospek yang menggalakkan pada tahun kewangan 2024, didorong oleh segmen perindustrian yang kukuh dan peningkatan secara umum dalam pasaran kediaman.

Kumpulan itu bersedia untuk pertumbuhan seterusnya dengan pelancaran dua projek penting, kediaman yang sangat dinanti-nantikan, The Ophera di KLGCC Resort, dan Elmina Lakeside Mall, tambahnya.

-BERNAMA

Berita Harian X