Jumaat, 17 Mei 2024 | 6:19pm
Ibu pejabat MATRADE di Kuala Lumpur. - NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI
Ibu pejabat MATRADE di Kuala Lumpur. - NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI

Misi perdagangan ke Mesir, Libya jana jualan RM250 juta

KUALA LUMPUR: Misi perdagangan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Malaysia ke Mesir dan Libya berjaya menjana jualan mencecah RM250 juta membabitkan lebih 180 mesyuarat perniagaan.

Misi Pecutan Eksport (EAM) ke rantau Afrika Utara diketuai Pengerusi MATRADE, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican turut disertai 10 syarikat Malaysia merentasi pelbagai sektor, terdiri daripada barangan pengguna yang bergerak pantas (FMCG), bahan binaan, jentera, tenaga boleh diperbaharui, minyak dan gas, peranti perubatan, produk serta perkhidmatan berasaskan minyak sawit.

Pejabat MATRADE di Kaherah bekerjasama dengan dewan perniagaan terkemuka di Mesir dan Libya dalam menganjurkan padanan perniagaan, lawatan pasaran, libat urus dan sesi rangkaian dengan perniagaan tempatan.

Di Mesir, Reezal Merican dan perwakilan bertemu dengan beberapa rakan sejawat dan pengimport utama untuk mengukuhkan hubungan perdagangan dua hala.

Antara lain ialah Majlis Perniagaan Mesir – Malaysia (EMBC), Perkhidmatan Komersial Mesir (ECS), Persekutuan Dewan Perniagaan Mesir (FEDCOC), Persekutuan Industri Mesir (FEI) serta Dewan Perniagaan dan Pembangunan Islam (ICCD).

Di Libya pula, beliau bertemu dengan Menteri Ekonomi dan Perdagangan Libya, Mohammed Al-Hwej; Pusat Penggalak Eksport Libya (LEPC), Kesatuan Dewan Perniagaan, Perindustrian Libya (GLUCC), Dewan Perniagaan Industri & Pertanian Tripoli dan Libya – Dewan Perniagaan Bersama Malaysia (LMBC).

Reezal Merican juga bertemu Presiden Majlis Tertinggi Negara Libya, Mohammed Takala.

Mengulas mengenai misi perdagangan itu, Reezal Merican berkata, misi berkenaan mencerminkan keberkesanan penglibatan proaktif dan kerjasama perniagaan strategik dalam memupuk hubungan perdagangan dan meneroka peluang baharu dalam pasaran Afrika Utara.

"MATRADE terus menyokong usaha pengeksport Malaysia untuk mengembangkan jejak eksport mereka di pasaran ini," katanya.

Ketika ini, Mesir dan Libya adalah antara rakan dagangan terbesar Malaysia di Afrika Utara.

"Syarikat Malaysia harus memanfaatkan peningkatan permintaan untuk produk perindustrian dan pengguna, yang wujud daripada pertumbuhan ekonomi yang progresif di kedua-dua negara.

"Tahun lalu, jumlah perdagangan Malaysia dengan Mesir dan Libya masing-masing mencecah RM3.35 bilion dan RM360 juta, sekali gus menunjukkan peluang besar untuk mengembangkan eksport kami ke pasaran ini.

"Syarikat Mesir dan Libya digalakkan untuk memanfaatkan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2024 dan MIHAS@Dubai yang akan datang untuk memanfaatkan peluang pasaran halal global yang luas, khususnya di ASEAN, Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA)," tambah Reezal Merican.

Berita Harian X