Khamis, 16 Mei 2024 | 9:13pm
Pengurusan dari UMW Toyota Motor bersama Zainuren Mohd Nor dari Kementerian Pendidikan dan peserta dari sekolah yang mengambil bahagian pada majlis pelancaran Toyota Eco Youth 2024.
Pengurusan dari UMW Toyota Motor bersama Zainuren Mohd Nor dari Kementerian Pendidikan dan peserta dari sekolah yang mengambil bahagian pada majlis pelancaran Toyota Eco Youth 2024.

Toyota Eco Youth buka tirai, tawar hadiah sehingga RM80,000

KUALA LUMPUR: UMW Toyota (UMWT) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (MOE), melancarkan Toyota Eco Youth (TEY) edisi ke-23 , program pendidikan alam sekitar peringkat kebangsaan tahunan.

Dalam satu kenyataan, UMWT berkata, inisiatif itu menyerlahkan lagi komitmennya bagi memperkasakan individu muda untuk terbabit secara aktif dalam membangunkan penyelesaian alam sekitar yang mampan.

"Program tahun ini, yang disasarkan kepada pelajar berumur 13 hingga 17 tahun, membanggakan penyertaan daripada 16 sekolah di seluruh negara," katanya.

TEY 2024 menyaksikan peserta akan menjalani bengkel intensif untuk Kaedah 8 Langkah Penyelesaian Masalah (PSM) Toyota yang bertujuan untuk membangunkan pemikiran kritis dan kemahiran menyelesaikan masalah.

"Program ini memberi insentif kepada penciptaan penyelesaian inovatif dengan hadiah wang tunai berjumlah sehingga RM80,000.

Menurut UMWT, program TEY, yang menjadi lanjutan daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat adalah selaras dengan komitmen UMWT dalam mengutamakan pemuliharaan alam sekitar.

Presiden UMWT, Datuk K Ravindran, berkata Program TEY adalah sejajar dengan Cabaran Alam Sekitar Toyota 2050 yang menyasarkan neutraliti karbon dan kesan positif alam sekitar yang ketara dalam kalangan pelajar sekolah menengah dan guru.

"Selain itu, kami berusaha untuk memastikan kemampanan setiap projek sekolah selepas tamat program tahun ini," katanya.

Sejak penubuhannya pada 2001, TEY telah berkembang pesat untuk menjadi program kesedaran alam sekitar sekolah di seluruh negara dengan warisan yang kaya yang merangkumi isu alam sekitar yang mempengaruhi komuniti.

Sejak lebih 23 tahun, TEY telah disertai lebih 300,000 pelajar dari 521 sekolah dan komuniti sekitarnya.

Berita Harian X