Khamis, 16 Mei 2024 | 3:01pm
Gambar fail. Koleksi barang kemas Tomei. - NSTP / ZULFADHLI ZULKIFLI.
Gambar fail. Koleksi barang kemas Tomei. - NSTP / ZULFADHLI ZULKIFLI.

Harga emas dijangka terus meningkat - Tomei

KUALA LUMPUR: Tomei Consolidated Bhd menjangkakan harga emas runcit akan terus meningkat seiring dengan lonjakan harga kontrak semasa niaga hadapan emas.

Pengarah Urusan Tomei, Datuk Ng Yih Pyng, berkata harga emas runcit juga turut berkait secara langsung dengan pengukuhan mata wang dalam sesebuah ekonomi.

Beliau berkata, ringgit yang lemah ketika ini berbanding mata wang utama lain memberi kesan ketara kepada pembelian emas.

"Apabila berlakunya penurunan ringgit dan pada masa sama harga emas tidak berubah, ia akan membawa kepada peningkatan harga jualan emas runcit.

"Selain itu penyusutan berterusan ringgit juga berpotensi membawa kepada inflasi dan melemahkan pendapatan boleh guna.

"Secara dasarnya, emas dalam trend menaik dan akan meneruskannya dalam tempoh akan datang," katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) TOMEI di sini hari ini.

Gambar fail. Datuk Ng Yih Pyng. - BERNAMA
Gambar fail. Datuk Ng Yih Pyng. - BERNAMA

Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi pada Rabu selepas pengumuman data indeks harga pengeluar April Amerika Syarikat (AS) yang lebih tinggi daripada jangkaan, naik 2.2 peratus tahun ke tahun.

Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Mei 2024 naik kepada AS$2,380.00 setiap auns troy daripada paras penutup AS$2,354.30 pada Selasa.

Kontrak Jun 2024, Julai 2024, Ogos 2024, Oktober 2024 dan Disember 2024 semuanya ditutup tinggi kepada AS$2,390.00 setiap auns troy berbanding AS$2,365.10 pada Selasa.

Ketika ditanya mengenai langkah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperkenalkan langkah pengeluaran melalui Akaun Fleksibel akan membantu meningkatkan jualan emas, Pyng berkata, secara amnya ia akan membantu industri runcit.

Namun beliau berkata, adakah pengeluaran wang KWSP itu akan digunakan untuk pembelian emas, ia masih terlalu awal.

Katanya, tidak seperti pengeluaran khas KWSP pada 2022 yang lalu di mana jumlahnya adalah besar berbanding pengeluaran Akaun Fleksibel yang dianggarkan sekitar RM25 bilion.

"Untuk industri runcit sudah tentu ia akan membantu tetapi untuk emas masih terlalu awal untuk dijangkakan.

"Selain itu pemulihan industri pelancongan juga turut dijangka akan membantu kerana pelancong asing juga mempunyai trend pembelian emas," katanya.

Berita Harian X