Rabu, 15 Mei 2024 | 2:56pm
Idzham (tengah) bersama rakan kongsi program GBS Iskandar@Medini - Gambar ihsan IIB
Idzham (tengah) bersama rakan kongsi program GBS Iskandar@Medini - Gambar ihsan IIB

IIB perluas kerjasama perkukuh ekosistem GBS Iskandar@Medini

KUALA LUMPUR: Iskandar Investment Bhd (IIB) memperluas kerjasamanya dalam inisiatif Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS) Iskandar@Medini melalui dua Memorandum Persefahaman (MoU) utama dengan GBS Malaysia dan iTrain Asia.

Usaha IIB itu juga membabitkan kerjasama dengan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) untuk mengukuhkan ekosistem GBS di Medini, Iskandar Puteri.

"Inisiatif itu mengukuhkan komitmen IIB untuk meletakkan Medini sebagai Daerah Perniagaan Pusat (CBD) Karbon Sifar Bersih pertama di rantau ini menjelang 2030 yang menumpukan kepada digital, inovasi dan GBS," menurut pemaju induk Iskandar Puteri itu dalam satu kenyataan, hari ini.

IIB menjelaskan kerjasama dengan GBS Malaysia akan menumpukan usaha bagi memacu Medini menjadi hab serantau yang terulung untuk operasi GBS manakala, kerjasama dengan iTrain Asia dirancang untuk memperkukuh impak peningkatan kemahiran dan latihan semula yang disesuaikan untuk memperkasa syarikat melalui kecerdasan buatan (AI), automasi dan kelestarian.

IIB mengalu-alukan perkongsian dengan MDEC untuk memacu pelaburan langsung asing (FDI) bagi industri GBS.

"Usaha sama ini, yang dijadual diumumkan pada suku ketiga 2024, bertujuan menyasarkan syarikat baharu yang mencari persekitaran strategik dan disokong baik untuk pengembangan," tambahnya.

Ini akan memastikan tenaga kerja GBS dilengkapi dengan pengetahuan terkini yang penting untuk berjaya dalam ekonomi digital. Kerjasama ini akan memupuk persekitaran inovasi dan pembelajaran berterusan untuk memenuhi keperluan semasa syarikat GBS, sekali gus meletakkan Medini sebagai destinasi utama untuk pekerjaan bernilai tinggi dan pertumbuhan mampan di rantau ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Datuk Idzham Mohd Hashim, berkata program GBS Iskandar telah mencatatkan pelaburan bernilai RM2.6 bilion dan mewujudkan 6,500 pekerjaan di Medini sejak penubuhannya pada 2016.

"Ketika kami melaksanakan bahagian seterusnya bagi inisiatif GBS Iskandar, IIB terus memperkukuh komitmen untuk memupuk pertumbuhan dan inovasi dalam sektor GBS Malaysia," katanya.

Beliau berkata, kejayaan GBS Iskandar di Medini disokong oleh lokasinya yang strategik, berfungsi sebagai pusat pengangkutan pelbagai dengan jaringan melalui darat, air dan laut.

"Dengan memanfaatkan kerjasama dalam rangka kerja Quadruple Helix (industri, akademik, sektor awam dan masyarakat umum) kami bersedia untuk menawarkan penyelesaian tuntas merangkumi insentif, usaha strategik, pembangunan bakat, serta urusan perhubungan kerajaan dalam memastikan syarikat GBS berkembang maju dalam landskap Medini yang rancak," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadir Aziz berkata kerjasama dengan IIB menekankan komitmen teguh MDEC untuk memacu transformasi digital, memupuk pembangunan bakat dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi dalam sektor GBS.

"Kerjasama ini selaras dengan inisiatif strategik nasional Malaysia Digital untuk memajukan infrastruktur digital Malaysia, menyediakan sokongan perniagaan yang komprehensif, dan mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai hab digital di Asia Tenggara," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X