Selasa, 14 Mei 2024 | 11:04am
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift (kanan) dan Lee Chian pada majlis penyenaraian Farm Price di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini - NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift (kanan) dan Lee Chian pada majlis penyenaraian Farm Price di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini - NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN

Saham Farm Price bermula cemerlang di Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR: Pemborong dan pengedar sayur-sayuran segar yang berpangkalan di Johor, Farm Price Holdings Bhd (Farm Price) memulakan penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia dengan memberangsangkan apabila sahamnya mencatatkan premium 100 peratus pada 48 sen, berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) 24 sen sesaham.

Pada penutup dagangan jam 5 petang, harga saham syarikat itu ditutup pada 41 sen, menjadikan premium sebanyak 17 sen atau 70.8 peratus.

Pengarah Urusan Farm Price, Dr Tiong Lee Chian, berkata penyenaraian syarikat itu akan membolehkannya memberikan tumpuan kepada pembangunan pasaran di Singapura dengan mewujudkan pangkalan pemasaran dan jualan.

"Jumlah hasil syarikat sebelum ini kira-kira 25 peratus dan kini untuk suku pertama 2024 meningkat kepada 28 peratus di mana kami menjangkakan lebih banyak jualan di Singapura kerana menerima banyak permintaan yang sebenarnya datang dari negara itu.

"Jadi, kami akan memberi tumpuan untuk menambah lebih ramai kakitangan pemasaran dan jualan bagi mengembangkan perniagaan di Singapura dan mengharapkan margin akan lebih baik," katanya pada sidang media selepas majlis penyenaraian syarikat itu di Bursa Malaysia, hari ini.

Lee Chian berkata, pasaran Singapura telah menyumbang satu perempat daripada jumlah keseluruhan kumpulan dengan margin keuntungan yang lebih tinggi, meletakkannya sebagai strategik fokus untuk pengembangan masa hadapan.

"Syarikat mengiktiraf potensi pertumbuhan yang ketara dalam industri sayur-sayuran segar, di mana bahagian pasaran kami kekal di bawah satu peratus di Malaysia dan Singapura.

"Kami bersyukur di atas keyakinan yang ditunjukkan oleh pasaran, ketika kami memulakan usaha baharu ini dalam pertumbuhan sebagai syarikat yang tersenarai," katanya.

Beliau berkata, pencapaian ini menggariskan 20 tahun kepakaran syarikat itu dalam mengemudi perniagaan pengedaran sayur-sayuran segar, daripada mengurus rangkaian pembekal global kepada memperkemas perolehan, pengurusan inventori dan perancangan logistik.

"Usaha kami telah membuahkan hasil dan kini berbekalkan modal baharu, kami bersedia untuk pengembangan perniagaan dan berharap dapat mencipta sesuatu seperti memberikan panduan dan pendidikan kepada pasaran, terutamanya petani," katanya.

Lee Chian berkata, petani dalam golongan anak muda pada masa ini semakin berpendidikan dan mereka didedahkan dengan ilmu terkini.

"Jadi, kami berharap dapat membantu mereka untuk membimbing dari segi bekalan dan ini secara tidak langsung dapat menangani isu lebihan bekalan sayur-sayuran.

"Jika ada lebihan bekalan, kami dapat membantu mereka memasarkannya ke Singapura, di mana ia juga akan memberikan promosi kepada pelanggan kami di negara itu dan membantu mereka untuk mengurangkan kerugian jika masalah ini timbul," katanya.

Berita Harian X