Isnin, 13 Mei 2024 | 3:20pm
Gambar fail. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Paramount Corporation, Jeffrey Chew. - NSTP/OWEE AH CHUN.
Gambar fail. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Paramount Corporation, Jeffrey Chew. - NSTP/OWEE AH CHUN.

Pembelian saham EWI, langkah Paramount kembang operasi luar negara

bizh-para13// bisnes

[email protected]

KUALA LUMPUR: Langkah Paramount Corporation Bhd mengambil alih 21.54 peratus kepentingan ekuiti dalam Eco World International Bhd (EWI) adalah tindakan tepat dan strategik seiring dengan pelan pengembangan operasi hartanah antarabangsanya, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Jeffrey Chew.

Paramount melalui anak syarikat milik penuhnya, Flexsis Sdn Bhd mengambil alih 21.54 peratus kepentingan ekuiti dalam Eco World International Bhd pada harga RM170.61 juta, menerusi pembelian 517 juta saham pada 33 sen sesaham menerusi urus niaga perniagaan langsung.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Paramount, Jeffrey Chew berkata, pengambilalihan itu akan mempercepatkan pelan pengembangan dan mempelbagaikan perniagaan luar negaranya.

Beliau berkata, ia akan membolehkan kumpulan terdedah kepada pasaran hartanah matang di United Kingdom dan Australia.

Kumpulan katanya turut menyasarkan untuk mempunyai 30 peratus daripada pendapatan mereka dijana daripada operasi di luar negara pada masa hadapan.

"Sekarang kita berada kurang daripada 10 peratus untuk perniagaan di luar Malaysia. Kita agak ketinggalan sedikit.

"Malah, anda lihat, banyak pemaju telah mengembangkan perniagaan mereka ke luar negara. Jadi ini masa yang baik untuk kumpulan keluar dan berharap pemerolehan ini akan membantu kita mencapai 30 peratus itu dalam tempoh lima tahun akan datang," katanya selepas taklimat media di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Chew berkata ketika ini pihaknya masih belum mengadakan perbincangan rasmi dengan Eco World International dan merancang akan melaksanakannya dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata, perbincangan itu menjurus kepada peluang kerjasama yang berpotensi kerana fokus utama Paramount ketika ini adalah untuk melihat pengembangan kedua kumpulan.

"Kami akan duduk dan membincangkan seberapa pantas, apakah perkara yang boleh kami lakukan bersama.

"Ia akan berkisar mengenai apakah rancangan strategik ke hadapan dan juga perkara lain seperti kedudukan kami dalam lembaga pengarah," katanya.

Sejak Paramount melupuskan perniagaan pendidikannya pada 2018, ia giat mencari peluang dalam perniagaan baharu untuk mempelbagaikan asas pendapatan, dalam dan luar Malaysia, yang digabungkan dalam pelan strategik 2020 hingga 2025.

Kumpulan juga kini kami melabur dalam pelbagai syarikat baharu berkaitan ruang digital dan mengembangkan perniagaan pembangunan hartanah ke Bangkok melalui usaha sama dengan peruntukan pelaburan sebanyak RM100 juta.

Eco World International mempunyai projek pembangunan di London, Sydney dan Melbourne melalui usaha sama dan anak syarikat, dengan baki nilai pembangunan kasar sebanyak RM8.6 bilion pada 29 Februari 2024.

Berita Harian X