Jumaat, 10 Mei 2024 | 3:16pm
MR D.I.Y Group Bhd
MR D.I.Y Group Bhd

MR D.I.Y sasar buka 180 lagi kedai baharu tahun ini

KUALA LUMPUR: Sasaran MR D.I.Y Group Bhd (MR D.I.Y) untuk menambah sekitar 180 kedai bagi tahun kewangan 2024 akan menguatkan lagi penembusan pasaran dan nilai jenama syarikat peruncit perkakas rumah terbesar di Malaysia itu.

Sehubungan itu, pertumbuhan perolehan syarikat itu dijangka akan terus mantap, ekoran kerangka perniagaannya yang berkesan.

Penganalisis RHB Investment Bank, Soong Wei Siang, berkata penjanaan aliran tunai yang kukuh di samping penormalan dalam kadar penghabisan inventori dan perbelanjaan modal terus membantu MR D.I.Y untuk menawarkan kadar bayaran dividen tinggi.

Beliau berkata, walaupun berhadapan dengan sikap pengguna yang lebih berhati-hati untuk berbelanja kerana tahap tekanan inflasi yang meninggi, MR D.I.Y berpeluang baik untuk menerima manfaat menerusi tingkah laku pengguna yang beralih kepada barangan berpatutan harganya.

"Ini kerana MR D.I.Y terkenal dengan penawaran produk bermutu tinggi pada harga mampu milik selain lokasi kedainya yang senang untuk dikunjungi.

"Oleh itu, kami melihat MR D.I.Y sebagai syarikat utama terbaik di sebalik perkembangan positif akhir-akhir ini, termasuk pelaksanaan kenaikan gaji buat penjawat awam dan skim pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang fleksibel," katanya dalam satu nota penyelidikan, semalam.

Perolehan MR D.I.Y bagi suku pertama 2024 menokok sembilan peratus tahun ke tahun kepada RM1.1 billion dipacu oleh penambahan kedai baharu bersih sebanyak 173 buah cawangan, namun pertumbuhan jualan kedai yang sama susut satu peratus yang mungkin berpunca daripada ketibaan bulan puasa yang lebih awal pada tahun ini.

Wei Siang berkata, margin untung kasar (GPM) bagi suku pertama 2024 mencecah 45.8 peratus lebih tinggi susulan kos tambang muatan lebih rendah dan kesan daripada kenaikan harga.

"Memandangkan perbelanjaan operasi berkadaran langsung dengan usaha perluasan rangkaian kedai, keuntungan sebelum cukai (PBT) suku pertama 2024 melonjak naik 13 peratus tahun ke tahun kepada RM195 juta.

"Secara suku ke suku, jualan pada suku pertama 2024 dilihat mendatar kerana usaha pengembangan rangkaian kedai dengan penambahan 37 cawangan mengimbangi faktor-faktor bermusim yang lebih lemah kerana suku keempat merupakan suku yang selalunya berprestasi paling kukuh buat MR D.I.Y," katanya.

MR D.I.Y mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM144.9 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2024, meningkat 13.4 peratus berbanding suku sama tahun sebelumnya.

Walau bagaimanapun, jika dibandingkan dengan suku sebelumnya, keuntungan bersih MR D.I.Y turun sembilan peratus disebabkan oleh GPM yang stabil dan kenaikan perbelanjaan operasi untuk menjayakan inisiatif pengembangan kedai.

Pendapatannya meningkat 9.2 peratus kepada RM1.1 bilion, didorong terutamanya oleh pertumbuhan 15.4 peratus dalam kedai baharu.

Jumlah urus niaga meningkat sebanyak 15.8 peratus kepada 44.2 juta apabila syarikat terus mengembangkan rangkaian kedainya secara strategik merentas jenama terasnya, dari 1,125 kedai pada suku pertama 2023 kepada 1,292 kedai pada 31 Mac 2024.

MR D.I.Y mengisytiharkan dividen sebanyak RM94.5 juta untuk suku pertama tahun kewangan 2024, peningkatan 66.9 peratus berbanding suku pertama tahun kewangan 2023.

Dividen suku pertama tahun kewangan 2024 adalah bersamaan dengan nisbah pembayaran sebanyak 65.2 peratus daripada keuntungan bersih.

Berita Harian X