Selasa, 7 Mei 2024 | 11:41am
Johari (empat dari kiri) dan Aranols (empat dari kanan) melancarkan KitKat Dark Borneo di LKM Nilai - Gambar ihsan Nestlé Malaysia
Johari (empat dari kiri) dan Aranols (empat dari kanan) melancarkan KitKat Dark Borneo di LKM Nilai - Gambar ihsan Nestlé Malaysia

Nestlé hasilkan KitKat dibuat guna biji koko Sabah, Sarawak

KUALA LUMPUR: Nestlé (Malaysia) Bhd memperkenalkan inovasi terbaharu, KitKat Dark Borneo, dibuat secara eksklusif menggunakan biji koko yang ditanam di Sabah dan Sarawak, sejajar dengan usaha berterusan untuk menggunakan bahan tempatan dalam ramuan rantaian bekalannya.

Biji koko itu diperoleh menerusi Inisiatif Koko Borneo Nestlé (NBCI) yang dilancarkan pada September tahun lalu, perkongsian strategik antara Nestlé Malaysia dan Lembaga Koko Malaysia (LKM) untuk mengembangkan Program Farmer Connect Nestlé ke Malaysia Timur.

Ini adalah usaha perladangan terbaharu oleh Nestlé Malaysia untuk menyokong amalan pertanian mampan yang lebih baik, menyumbang kepada keterjaminan makanan negara serta meningkatkan mata pencarian petani yang terbabit melalui pelbagai Program Farmer Connect Nestlé.

Sejak tahun 1985, Nestlé telah terbabit secara aktif dalam penanaman cili dan padi tempatan di beberapa negeri, malah menerajui perluasan penanaman kopi di Kedah dan di Kelantan sejak 2019.

Pengembangan NBCI ke Malaysia Timur menawarkan peluang besar untuk membangunkan bekalan koko tempatan

dengan keadaan cuaca yang baik di Sabah dan Sarawak, sambil menyumbang ke arah meletakkan Malaysia kembali dalam landskap bekalan global untuk tanaman bernilai tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, Juan Aranols, berkata pelancaran KitKat Dark Borneo adalah sebahagian daripada komitmen syarikat untuk memajukan hasil tempatan dan mendapatkan sumber mampan melalui Program Farmer Connect Nestlé yang kini telah berkembang ke Malaysia Timur dan melangkaui pembabitan sedia ada menerusi cili, beras serta kopi.

"Inisiatif ini menjadikan visi kami yang nyata iaitu pertanian lebih baik, kehidupan lebih baik dan koko lebih baik. Pendekatan kami termasuk melaksanakan amalan pertanian regeneratif seperti 'agroforestry' dan tanaman selingan, yang membantu untuk memastikan kesihatan tanah untuk jangka masa panjang, serta membangunkan hasil tanaman sehingga melonjakkan pendapatan petani tempatan.

"Kami percaya bahawa KitKat Dark Borneo, sebagai tambahan kepada konfeksi dengan rasa yang hebat dan berkualiti tinggi, adalah contoh yang baik mengenai perkongsian swasta-awam boleh membawa perubahan positif serta peluang lebih baik untuk pembangunan ekonomi masyarakat setempat," katanya pada pelancaran produk itu di LKM Nilai, Negeri Sembilan.

Ia dilancarkan oleh Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Berucap pada majlis itu, Johari berkata Malaysia mempunyai potensi besar untuk disepadukan ke dalam pasaran koko global, yang kini sangat bergantung kepada beberapa negara pengeluar.

"Kementerian, bersama LKM komited bukan sahaja untuk menggiatkan semula, tetapi juga memperkayakan industri koko kita. Adalah menjadi tugas kita untuk mencergaskan semula sektor huluan dan hiliran, memastikan pendekatan kita bukan sahaja meningkatkan penjanaan pendapatan tetapi juga menyemai penjagaan alam sekitar dalam kalangan masyarakat," katanya.

Menggunakan biji koko Trinitario yang ditanam di tanah gunung Borneo yang subur dan hutan hujan iklim tropika yang melalui proses penapaian dan pengeringan matahari yang teliti, KitKat Dark Borneo dengan kandungan koko 52 peratus memberikan keseimbangan sempurna rasa yang kaya dan berkrim.

KitKat Dark Borneo adalah sebahagian daripada rangkaian produk KitKat yang dihasilkan di Kompleks Perindustrian Chembong di Negeri Sembilan yang memperoleh pensijilan halal.

Kemudahan ini adalah salah satu kilang konfeksi Nestlé terbesar di Asia, yang memainkan peranan penting sebagai eksport hab pembuatan ke semua pasaran ASEAN dan destinasi lain.

Berita Harian X