Rabu, 1 Mei 2024 | 2:05pm
Nadella berucap pada acara Microsoft Build: AI Day di Bangkok hari ini - Foto Reuters
Nadella berucap pada acara Microsoft Build: AI Day di Bangkok hari ini - Foto Reuters

Microsoft umum rancangan bina pusat data di Thailand

BANGKOK: Microsoft akan mewujudkan wilayah pusat data pertama Thailand untuk meningkatkan infrastruktur awan dan kecerdasan buatan (AI), menjanjikan latihan AI kepada lebih 100,000 rakyat negara itu membangunkan teknologi.

Bangkok ialah pemain ekonomi utama di Asia Tenggara, tetapi ia telah ketinggalan di belakang Indonesia dan Singapura apabila membabitkan industri teknologi.

Thailand mempunyai 'peluang luar biasa untuk membina masa depan yang diutamakan digital, dikuasakan AI', kata Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Satya Nadella di sini.

Rantau pusat data ialah lokasi fizikal yang menyimpan infrastruktur pengkomputeran, membenarkan akses selamat dan boleh dipercayai kepada platform awan.

"Rantau pusat data baharu, bersama-sama dengan pelaburan yang kami lakukan dalam infrastruktur awan dan AI, serta kemahiran AI, membina komitmen panjang kami kepada negara ini," kata Nadella.

Microsoft dalam satu kenyataan menambah bahawa pelaburan mereka akan menyediakan latihan AI 'untuk memanfaatkan lebih daripada 100,000 individu di Thailand', menyokong komuniti pembangun negara yang semakin berkembang.

Penggunaan AI di peringkat global telah meningkatkan jualan perkhidmatan awan utama Microsoft seperti Azure, yang menjadi teras perniagaannya di bawah kepimpinan Nadella.

Nadella berkata bahawa 'rantau Azure penuh' akan tiba ke Thailand.

Nadella dijangka bertemu dengan Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin, yang telah mendorong infrastruktur digital dan pelaburan awan.

Pejabat Suruhanjaya Ekonomi Digital dan Masyarakat Thailand berkata, ekonomi digital boleh menyumbang sebanyak 30 peratus daripada KDNK menjelang 2027.

Srettha telah melakukan banyak lawatan antarabangsa pada tahun lalu ketika beliau cuba menarik pelabur, bertemu dengan ketua Microsoft, Google dan Tesla.

Thailand ialah persinggahan terbaru dalam jelajah serantau berprofil tinggi Nadella.

Beliau berada di Indonesia semalam, berjanji untuk melabur $1.7 bilion di sekitar AI dan pengkomputeran awan, dan kemudiannya akan terbang ke Malaysia.

Microsoft telah diberi ganjaran oleh pelabur sejak melancarkan AI generatif secara agresif, bermula dengan perkongsian $13 bilion dengan OpenAI, pencipta ChatGPT, pada 2023.

Perkongsian itu mendorongnya mengatasi Apple sebagai syarikat terbesar di dunia dari segi permodalan pasaran.

-AFP

Berita Harian X