Rabu, 1 Mei 2024 | 1:29pm
KSL Holdings Bhd.
KSL Holdings Bhd.

KSL beli tanah RM211.58 juta di Pulai bagi projek perumahan

KUALA LUMPUR: KSL Holdings Bhd mengumumkan bahawa anak syarikat milik penuhnya, KSL Medini Development Sdn Bhd (KSLMD) memeterai perjanjian jual beli dengan Tropicana Firstwide Sdn Bhd, Tropicana Rhythm Crest Sdn Bhd dan Tropicana Desa Mentari Sdn Bhd untuk membeli petak tanah pegangan bebas seluas 183.33 ekar (74.19 hektar) di Pulai, Johor Bahru dengan harga RM211.58 juta.

Petak tanah berkenaan terletak di Pulai, Johor Bahru, dan dalam kawasan di sepanjang Jalan Gelang Patah dengan Laluan Kedua Malaysia-Singapura yang melalui tanah itu.

Menurut KSL, cadangan pengambilalihan itu membesarkan simpanan tanah sedia ada kumpulan untuk meningkatkan hasil dan pendapatan masa depan, yang mana tanah terbabit akan digunakan untuk projek pembangunan kediaman dan meningkatkan lagi kehadirannya dalam pasaran hartanah di Johor.

"Apabila cadangan pengambilalihan selesai, simpanan tanah Kumpulan KSL akan menjadi lebih kurang 2,600 ekar (1,052.18 hektar) yang terletak di Segamat, Batu Pahat, Muar, Mersing, Johor Bahru, Klang dan Selangor.

"Daripada jumlah simpanan tanah berkenaan, kira-kira 50 peratus daripadanya dalam pelbagai peringkat kelulusan dan kira-kira 25 peratus lagi berada di bawah pelbagai peringkat pembangunan," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

Projek itu dijangka membabitkan kira-kira 628 unit hartanah kediaman yang bakal dimulakan pada 2028 dan dilaksanakan dalam tempoh lapan hingga 10 tahun.

"Memandangkan jangka masa yang jauh bagi pembangunan yang dijangkakan, syarikat tidak dapat menganggarkan dengan tepat jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) projek pada peringkat ini," katanya.

KSLMD ialah anak syarikat milik penuh KSL, yang diperbadankan pada 18 Disenver 2013 di Malaysia sebagai syarikat sendirian berhad dengan modal saham RM49 juta, terdiri daripada 49 juta saham biasa bernilai RM1 setiap satu.

Aktiviti utamanya ialah pembangunan hartanah.

Mengenai prospek projek itu, KSL berkata tanah terbabit bersambung baik dengan jalan utama dan pengangkutan memandangkan kawasan berkenaan berada dalam kawasan perbandaran yang mantap.

Justeru, prospek pembangunan bagi tanah terbabit kelihatan baik.

-BERNAMA

Berita Harian X