Selasa, 30 April 2024 | 5:17pm
Kucingko melalui anak syarikat milik penuhnya Inspidea menyiapkan sebanyak 59 projek bernilai RM63.22 juta.
Kucingko melalui anak syarikat milik penuhnya Inspidea menyiapkan sebanyak 59 projek bernilai RM63.22 juta.

Kucingko studio produksi animasi pertama disenarai di Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR: Kucingko Bhd akan menjadi studio produksi animasi pertama bakal disenaraikan di Pasaran ACE selepas menerima kelulusan daripada Bursa Malaysia Securities Bhd.

Penyedia perkhidmatan pengeluaran animasi itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO) syarikat itu akan membabitkan terbitan 200 juta saham biasa, merangkumi 40 peratus daripada jumlah saham terbitan yang diperbesarkan bahagian yang sama sebanyak 100 juta saham setiap satu tersedia di bawah terbitan awam dan tawaran untuk dijual.

Pengarah Eksekutif Kumpulan, See Chin Joo, berkata IPO itu akan membolehkan kumpulan itu mengambil pekerja berkemahiran atau bakat baharu dari Sabah dan Sarawak untuk melengkapkan 260 artis (pelukis) sedia ada di pejabatnya di Kelana Jaya, Selangor dan sebahagian besar akan diperuntukkan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran dengan menubuhkan pejabat cawangan di dua negeri berkenaan.

Beliau berkata, pengembangan itu bukan hanya mengenai kapasiti tetapi juga mengenai memperkukuhkan lagi hubungan perniagaan syarikat itu dengan pelanggan sedia ada dan meningkatkan rangkaian pelanggan di Amerika Syarikat (AS).

"Memperoleh kelulusan IPO di Pasaran ACE adalah satu kejayaan besar kerana ia akan menjadi studio produksi animasi pertama yang disenaraikan di Bursa Malaysia.

"Menerusi hasil daripada IPO itu, Kucingko merancang untuk meningkatkan kapasiti pengeluarannya, mengembangkan rangkaian perniagaannya di AS dan memperkukuhkan pasaran syarikat sekali gus meningkatkan nilai pemegang saham," katanya.

Susulan keperluan ini, beliau berkata sebahagian daripada hasil berkenaan akan digunakan secara strategik untuk menubuhkan pejabat jualan dan pemasaran di AS, membolehkan mereka lebih dekat dengan pasaran terbesar tersebut dan memudahkan pengurusan serta hubungan dengan pelanggan yang lebih baik.

"Akhir sekali, baki bahagian hasil akan diperuntukkan untuk keperluan modal kerja kami," katanya.

Kucingko melalui anak syarikat milik penuhnya, Inspidea Sdn Bhd berbangga dengan penghasilan animasi 2D termasuk siri animasi dan filem pendek animasi.

Inspidea menyiapkan sebanyak 59 projek bernilai RM63.22 juta secara keseluruhannya sepanjang tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020, 2021, 2022 dan tempoh kewangan enam bulan berakhir 30 Jun 2023, dengan lebih 4,617 minit kandungan yang menarik perhatian penonton di seluruh dunia.

Kumpulan itu memperoleh hampir 100 peratus pendapatannya daripada menyediakan perkhidmatan pengeluaran animasi terutamanya di pasaran antarabangsa termasuk Amerika Utara, Eropah dan Asia Pasifik.

Kenanga Investment Bank Bhd adalah penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk pelaksanaan IPO itu.

-BERNAMA

Berita Harian X