Isnin, 22 April 2024 | 5:12pm

IPO Keyfield catat premium 80 sen

KUALA LUMPUR: Keyfield International Bhd memulakan penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia hari ini dengan mencatat premium menakjubkan sebanyak 80 sen atau 89 peratus berbanding harga tawaran awam permulaannya pada 90 sen.

Pada loceng pembukaan, kaunter saham itu menyaksikan 18.66 juta saham bertukar tangan.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Darren Kee Chit Huei berkata harga pembukaan mengesahkan terlebih langganan sahamnya, menunjukkan keyakinan orang ramai yang melabur dalam Keyfield dan industri kapal sokongan luar pesisir, terutamanya untuk kapal-kapal penginapan.

Beliau berkata dana yang diperoleh akan digunakan untuk mengurangkan pinjaman syarikat "sambil kita mengorak langkah ke hadapan ke lembaran baharu untuk peluang pertumbuhan masa hadapan."

"Lonjakan dalam aktiviti luar pesisir yang dijangka, ditambah dengan bekalan terhad kapal yang sesuai dalam industri, memberi petanda baik untuk pemain-pemain kapal penginapan luar pesisir tempatan.

"Dengan armada kami yang terdiri daripada 11 kapal dan akses kepada kapal-kapal pihak ketiga, Keyfield berada pada kedudukan yang baik untuk menyokong industri minyak dan gas tempatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Keyfield memperoleh RM188.1 juta daripada pelaksanaan IPOnya, yang mana RM61.5 juta akan digunakan untuk menebus saham-saham keutamaan tidak boleh tukar boleh tebus kumulatif Keyfield (CRNCPS).

Sejumlah RM65 juta dan RM35 juta adalah untuk menjelaskan baki pembayaran bagi dua kapal, iaitu Blooming Wisdom dan Keyfield Helms 1 dan RM26.6 juta untuk membayar balik pinjaman bank, modal kerja dan perbelanjaan berkaitan penyenaraian.

Dalam sidang media selepas majlis penyenaraian tersebut, beliau berkata syarikat itu tidak akan menghadapi kesan langsung daripada ketegangan geopolitik semasa di Timur Tengah kerana ia beroperasi sepenuhnya di Asia Tenggara.

"Buat masa ini semua pendapatan kami diperoleh dari Malaysia dan sebahagiannya berhampiran Thailand, jadi saya rasa ketegangan geopolitik di Timur Tengah tidak akan memberi kesan langsung kepada kami kerana kami beroperasi sepenuhnya di rantau ini.

"Sekiranya berlaku krisis besar hingga berperang, ia sudah tentu akan menjejaskan keseluruhan pasaran dan ini adalah sesuatu yang perlu kita hadapi, tetapi dari segi kerja, tidak ada pesanan kerja yang dibatalkan kerana semua pelanggan kami (berada) di rantau ini," katanya.

Kee berkata syarikat itu mempunyai 11 kapal dan juga mengendalikan kapal-kapal pihak ketiga, dengan semua kapal disewa sepenuhnya. Memandangkan keadaan semasa, beliau berkata syarikat masih mencari kapal yang sesuai untuk memenuhi pesanan kerja yang semakin meningkat.

"Kami akan meninjau untuk memperoleh tiga kapal, satu daripadanya telah diperoleh pada Januari, jadi kami masih melihat rundingan untuk membeli kapal-kapal yang sesuai," katanya.

M&A Securities Sdn Bhd ialah penasihat utama dan penaja jamin untuk IPO Keyfield. Ia juga merupakan ejen penempatan bersama dengan Maybank Investment Bank Bhd. – Bernama

Berita Harian X