Khamis, 18 April 2024 | 6:58pm
Dari kiri, Timbalan Pengarah Projek Astaka Padu, Shanmugapathy; Rakan Kongsi Usahasama Aliva, Jeffrey Ang; Ketua Pegawai Eksekutif Astaka Padu, Allen Khong; Pengarah Eksekutif Kim Lun Sdn Bhd, Chin Lian Hing; Pengurus Besar Kimlun Sdn Bhd, Tan Nan Jian pada majlis pecah tanah projek Aliva di Mount Austin, Johor,
Dari kiri, Timbalan Pengarah Projek Astaka Padu, Shanmugapathy; Rakan Kongsi Usahasama Aliva, Jeffrey Ang; Ketua Pegawai Eksekutif Astaka Padu, Allen Khong; Pengarah Eksekutif Kim Lun Sdn Bhd, Chin Lian Hing; Pengurus Besar Kimlun Sdn Bhd, Tan Nan Jian pada majlis pecah tanah projek Aliva di Mount Austin, Johor,

Kimlun raih kontrak maju hartanah Aliva Mount Austin RM150 juta

JOHOR BAHRU: Kimlun Corporation Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya Kimlun Sdn Bhd (Kimlun), meraih kontrak pembinaan hartanah Aliva di Mount Austin, Johor bernilai RM150 juta.

Kontrak itu yang diperoleh daripada Astaka Holdings Ltd (Astaka), peneraju pemaju hartanah bersepadu berpangkalan di Johor. Kimlun berperanan sebagai kontraktor utama bagi Aliva.

Astaka dalam satu kenyataan berkata, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) yang dianggarkan sebanyak RM254 juta, Aliva akan mempunyai jumlah keseluruhan 499 unit dengan keluasan binaan yang berkisar dari 595 kps hingga 1,075 kps dan terletak secara strategik untuk menarik segmen pasaran premium di Mount Austin, sebuah perbandaran yang menarik di Johor Bahru.

"Pembangunan ini dirancang untuk disiapkan pada suku keempat tahun 2026 (Q4 2026)," kata kenyataan itu

Astaka telah mengadakan majlis pecah tanah hari ini yang menyaksikan permulaan pembinaan Aliva dengan kehadiran pihak berkepentingan serta rakan-rakan projek utama.

"Penganugerahan kontrak menandakan kesinambungan kepada perkongsian yang cemerlang dengan Kimlun, rekod prestasi mereka yang terbukti dalam penyampaian projek berkualiti tinggi sepenuhnya dengan visi kami untuk Aliva," kata Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Astaka, Allen Khong.

Syarikat usaha sama 40 peratus milik Kimlun, JBB Kimlun Sdn Bhd, adalah kontraktor utama bagi projek Menara MBJB, sebuah menara pejabat kelas A 15 tingkat yang direka dan dibangunkan oleh Astaka untuk Majlis Bandaraya Johor Bahru.

Perlu ditekankan, projek itu telah disiapkan dan diserahkan kepada Majlis Bandaraya Johor Bahru pada 1 Januari 2020, setahun lebih awal daripada jadual yang dirancang.

"Kami berharap untuk mengeratkan hubungan kerja kami dan menyiapkan satu lagi projek ikonik bersama-sama. Kami yakin bahawa perkongsian ini akan membawa kepada pembangunan yang melebihi jangkaan dan memberikan sumbangan yang signifikan kepada pasaran hartanah di Johor Bahru," kata Pengarah Eksekutif Kimlun, Chin Lian Hing.

Sejak pelancaran komersial Aliva pada Disember lalu, projek itu telah mencapai kadar tempahan yang luar biasa sebanyak 70 peratus.

Allen Khong berkata, sambutan daripada pembeli Malaysia sangat positif, khususnya melihat Aliva sebagai pilihan yang hebat untuk kehidupan seharian, sebagai rumah kedua, atau sebagai pelaburan.

"Selain itu, dengan pembinaan Sistem Transit Aliran Johor Bahru–Singapura (RTS) berjalan dengan lancar, kami melihat lebih banyak pembeli antarabangsa, terutamanya dari Singapura, secara aktif mencari hartanah di Malaysia sebagai rumah kedua atau pelaburan.

"Berdasarkan ini, kami telah berjaya memohon kepada Kerajaan Negeri Johor untuk mengurangkan ambang minimum untuk pembelian hartanah oleh orang asing bermula iaitu dari RM500,000 Kami mengharapkan faktor-faktor ini akan lebih mempercepatkan kadar pengambilan untuk Aliva.

"Meskipun Mount Austin merupakan sebuah bandar yang matang dan destinasi pelancongan yang popular, namun ia masih belum mempunyai hotel mewah dan apartmen premium. Kami telah meletakkan Aliva untuk mengisi kesenjangan ini dalam pasaran," katanya.

Aliva adalah simbol beberapa kejayaan pertama bagi hartanah di Mount Austin. Pembangunan ini akan menjadi kediaman perkhidmatan pertama di Mount Austin.

Ia juga merupakan projek pertama di Mount Austin dengan perkhidmatan pengurusan gaya hotel yang akan diuruskan oleh syarikat pengurusan hartanah pemenang anugerah, Knight Frank Property Management Sdn Bhd, yang dilantik oleh Astaka.

Aliva juga dijangka mencapai pengiktirafan sebagai bangunan yang pertama berdaftar Indeks Bangunan Hijau (GBI) di Mount Austin, mencerminkan komitmen Kumpulan dalam mencipta ruang kediaman yang selesa dan mesra alam.

Berbeza dengan pembangunan kediaman konvensional, Aliva akan dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan yang biasanya terdapat di hotel, termasuk lobi besar, khidmat concierge, kemudahan pengisian EV, dan sistem pengurusan sisa automatik.

Selain itu, penduduk Aliva akan mempunyai akses eksklusif kepada pelbagai kemudahan yang memenuhi pelbagai kehendak dan gaya hidup, termasuk gimnasium dengan pemandangan panorama landskap yang amat menarik di Mount Austin.

Aliva juga menawarkan lokasi utama dengan akses mudah ke sekolah, hospital, dan pelbagai pusat hiburan dan rekreasi di sekitar Mount Austin, termasuk Aeon Mall, Toppen Shopping Centre, Eco Palladium Shopping Centre, Austin Heights Golf Club, dan Austin Heights Water & Adventure Park .

Berita Harian X