Rabu, 17 April 2024 | 9:43pm
Azhar (kiri) dan Faizah (tiga dari kanan) ketika majlis pelancaran Diploma Kemahiran Malaysia di Akademi Vokasional McDonald's Malaysia, hari ini - Foto BERNAMA
Azhar (kiri) dan Faizah (tiga dari kanan) ketika majlis pelancaran Diploma Kemahiran Malaysia di Akademi Vokasional McDonald's Malaysia, hari ini - Foto BERNAMA

McDonald's Malaysia tawar Diploma Kemahiran Malaysia kepada 20 perantis

PETALING JAYA: McDonald's Malaysia terus memperkasa belia di negara ini dengan menawarkan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM Tahap 4), dalam bidang restoran perkhidmatan segera kepada 20 perantis menerusi Program Perantis Vokasional McDonald's.

Naib Presiden dan Ketua Pegawai Sumber Manusia McDonald's Malaysia, Azhar Darbi, berkata graduan berkenaan merupakan antara kumpulan terawal, yang mengikuti DKM di Akademi Vokasional McDonald's Malaysia.

"Sebelum ini, mereka semua telah pun menamatkan Program Perantis Vokasional McDonald's selama 18 bulan dan menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM Tahap 3) yang diktiraf oleh Kementerian Sumber Manusia.

"Suka saya mengatakan yang DKM ini merupakan kesinambungan bagi Program Perantis Vokasional McDonald's, dan mengukuhkan lagi kedudukan Akademi Vokasional McDonald's Malaysia dalam menyediakan akses kepada pendidikan vokasional yang berkualiti kepada golongan belia di negara ini," katanya pada Majlis Perasmian DKM Akademi Vokasional McDonald's, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Hal Ehwal Industri dan Kerjasama Strategik, menanggung tugas Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Jabatan Kemahiran, Faizah Harun dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional Ahmad, Kamal Md Duraibi.

Azhar berkata, perantis yang mengikuti DKM berkenaan akan mengambil masa selama 12 bulan meliputi pembelajaran teori sebanyak 30 peratus di akademi dan latihan praktikal di restoran sebanyak 70 peratus.

"Dalam erti kata lain, dengan mengikuti DKM, selain peluang kerjaya yang lebih meluas, mereka juga berpeluang mengikuti pengajian ke peringkat Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM Tahap 5) atau setara ijazah sarjana muda di universiti yang terpilih.

"Mereka yang mengikuti DKM di Akademi Vokasional McDonald's, merupakan pekerja McDonald's Malaysia dan bergaji penuh sepanjang mengikut pengajian ini, dan semua kos pembelajaran ditaja oleh syarikat melibatkan yuran pengajian, kemudahan tempat tinggal bagi yang memerlukan, insurans perubatan, makan minum dan sebagainya," katanya.

Azhar berkata, McDonald's Malaysia juga memperuntukkan lebih RM10 juta setiap tahun, bagi melaksanakan program pembangunan bakat dan kemahiran untuk seluruh warga kerjanya di pelbagai peringkat jawatan.

-BERNAMA

Berita Harian X