Selasa, 9 April 2024 | 10:00pm
Gambar fail. Pesawat Airbus A340 milik AirAsia X. - Reuters
Gambar fail. Pesawat Airbus A340 milik AirAsia X. - Reuters

Capital A, AirAsia X lanjut tempoh rundingan pengambilalihan

KUALA LUMPUR: Penjualan perniagaan penerbangan AirAsia oleh Capital A Bhd kepada AirAsia X Bhd (AAX) telah dilanjutkan sehingga 30 April 2024.

Capital A melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata kumpulan itu dan AAX telah bersetuju melanjutkan tempoh rundingan untuk melaksanakan perjanjian muktamad sehingga akhir bulan ini.

Capital A merancang melupuskan keseluruhan pegangannya dalam AirAsia Bhd (AAB), anak syarikat milik penuh kumpulan itu termasuk kepentingan ekuiti 100 peratusnya dalam AirAsia Aviation Group Ltd (AAAGL).

AAAGL mengendalikan perkhidmatan penerbangan penumpang melalui subsidiari di Thailand, Indonesia, Filipina dan Kemboja.

Pada 8 Jan 2024, Capital A menandatangani surat tawaran tidak terikat dengan AAX membabitkan cadangan pelupusan perniagaan penerbangannya.

Setakat 3.10 petang, saham AAX didagangkan satu sen lebih rendah pada RM1.29 dengan 766,000 saham berubah tangan. Saham Capital A tidak berubah pada 70 sen dengan volum sebanyak 4.55 juta. – Bernama

Berita Harian X