Jumaat, 5 April 2024 | 10:44pm
Lokasi tanah dibeli oleh Mah Sing di Johor.
Lokasi tanah dibeli oleh Mah Sing di Johor.

Mah Sing beli tanah berharga RM103.75 juta di Johor

KUALA LUMPUR: Mah Sing Group Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya, Venice View Development Sdn Bhd memeterai perjanjian jual beli bersyarat untuk memperoleh 40.4686 hektar (100 ekar) tanah pada harga RM103.75 juta.

Terletak di Johor, tanah itu terletak kira-kira 400 meter dari pembelian pada Jun 2023 membabitkan tanah seluas 30.63 hektar (75.7 ekar) yang dikenali sebagai M Tiara.

Pembelian terbaharu ini dianggarkan mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.45 bilion, kata Mah Sing.

Amanah Raya Bhd (AmanahRaya) adalah vendor untuk tanah berkenaan.

"Pembelian ini adalah langkah strategik oleh Mah Sing berikutan permintaan yang dijangka semakin meningkat dalam pasaran hartanah di Johor," kata pemaju hartanah itu dalam satu kenyataan hari ini.

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan, Tan Sri Leong Hoy Kum, berkata kumpulan itu memulakan pembelian kurang setahun selepas projek M Tiara kerana ia sejajar dengan permintaan pasaran, didorong oleh projek-projek infrastruktur akan datang seperti Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura dan potensi pemulihan projek kereta api berkelajuan tinggi KL-Singapura. Kedua-dua projek itu akan meningkatkan aktiviti-aktiviti ekonomi di Johor Bahru.

"Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) turut dijangka merangsang aktiviti ekonomi di antara Singapura dan Johor," kata kenyataan itu sambil menambah bahawa ini adalah perjanjian tanah kedua bagi kumpulan berkenaan tahun ini.

Tanah itu bakal dibina dengan perumahan bersambung dua tingkat, blok pangsapuri perkhidmatan dan kedai dua tingkat.

Pendaftaran minat dijangka bermula pada suku pertama 2025, katanya.

"Kami telah memperoleh lebih 5,000 orang yang mendaftar minat dalam tempoh kurang dari 10 bulan sejak pemerolehan M Tiara, yang mana terdiri daripada 754 unit kediaman bertanah. Sambutan yang luar biasa ini telah meningkatkan keyakinan kami untuk memenuhi permintaan pasaran dengan cepat," kata Hoy Kum.

Kenyataan itu menyatakan Mah Sing Group mempunyai kunci kira-kira yang kukuh, kecairan yang mencukupi, pelaburan dalam jangka pendek bernilai RM981.3 juta dan nisbah penggearan bersih yang rendah sebanyak 0.08 kali pada 31 Disember 2023.

Ia juga berkata, kumpulan akan terus membeli tanah-tanah strategik di lokasi Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang.

-BERNAMA

Berita Harian X