Jumaat, 5 April 2024 | 12:02pm
Cawangan Focus Point Signature di The Exchange TRX.
Cawangan Focus Point Signature di The Exchange TRX.

Focus Point tumpu golongan pengguna berpendapatan tinggi

KUALA LUMPUR: Focus Point Holdings Bhd menyasarkan kelompok pengguna berpendapatan tinggi yang menjadi kunci kepada ketahanan prestasi syarikat, apabila kira-kira 80 peratus pelanggannya dikuasai oleh kelompok berkenaan.

RHB Investment Bank dalam satu nota penyelidikan berkata, penyedia perkhidmatan optik itu dilihat mempunyai momentum pertumbuhan baik untuk perniagaannya didorong oleh sentimen pengguna yang kukuh, namun berwaspada.

Ia berkata, meskipun berhadapan dengan keadaan pasaran runcit yang suram, pihak pengurusan mendapati terdapat momentum pertumbuhan baik untuk perniagaan optik, yang mungkin mendapat dorongan daripada permintaan teguh untuk produk cermin mata susulan populasi penduduk yang semakin ramai menghidap penglihatan rabun jauh.

"Sementara itu, berdasarkan dapatan kajian kami, kawasan pusat perniagaan yang menjadi tumpuan ramai pelancong seperti KLCC dan Pavilion, menerima sambutan pengunjung yang tinggi sekali.

"Dengan ini, pembukaan cawangan kedai Focus Point Signature di The Exchange TRX pada November 2023 lalu adalah satu langkah yang tepat sekali untuk meraih perolehan lebih tinggi daripada kemasukan pelancong yang kembali pulih.

"Pihak pengurusan juga berkongsi maklumat bahawa Johor, negeri kedua terbesar dari segi bilangan kedai terus mencatatkan keuntungan jualan yang kukuh," katanya dalam nota yang disediakan oleh penganalisis, Tai Yu Jie dan Soong Wei Siang.

Dalam pada itu, RHB Investment Bank berkata, pihaknya baru-baru ini mengadakan sesi pertemuan dengan pasukan pengurusan Fokus Point bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai perniagaan optik serta makanan dan minuman (F&B) syarikat itu.

c

"Kami terus menyukai syarikat ini kerana nilai semasanya yang menarik danberikutan pertumbuhan pesat dalam perniagaan optik dan pemulihan mampan yang dialami perniagaan F&B.

"Focus Point sewajarnya mengatasi prestasi kebanyakan syarikat pesaing runcit pengguna lain sewaktu perbelanjaan pengguna melemah untuk membeli barangan bukan keperluan ekoran tekanan inflasi yang meninggi," katanya.

Mengenai perniagaan F&B, RHB Investment Bank berkata Focus Point merekodkan pemulihan perolehan dalam segmen itu yang menyumbang 16 peratus jualan dalam tahun kewangan 2023 pada suku keempat selepas

berjaya menyelesaikan isu lebihan tenaga pekerja di dapur berpusat.

"Justeru, kami meramalkan keuntungan ini dapat diteruskan ke masa hadapan berikutan bilangan pelanggan syarikat sedia ada dan cawangan kedai Komugi yang stabil.

"Untuk tahun kewangan 2024, sekurang-kurangnya dua kedai Komugi disasarkan untuk dibuka, daripada sebanyak 12 kedai sekarang.

"Jenama ais krim yogurt Hap&Pi turut dilancarkan semasa pembukaan cawangan kiosk pertamanya bulan lalu," katanya.

Berita Harian X