Rabu, 3 April 2024 | 2:31pm
Aria Putera (dua dari kiri) bertukar dokumen MoU bersama Izhar Hifnei - Gambar ihsan SME Bank
Aria Putera (dua dari kiri) bertukar dokumen MoU bersama Izhar Hifnei - Gambar ihsan SME Bank

SME Bank, JPDC meterai MoU majukan ekonomi Johor

KUALA LUMPUR: SME Bank, peneraju utama dalam menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS), memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Johor Petroleum Development Corporation Bhd (JPDC) bagi memajukan pertumbuhan ekonomi di Johor.

Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Dr Aria Putera Ismail, berkata SME Bank tetap komited dalam usaha untuk memberi bantuan kewangan dan sokongan khidmat nasihat kepada PKS.

Katanya, usaha itu bertujuan untuk melengkapkan kontraktor tempatan dengan kemahiran dan keupayaan yang diperlukan untuk berkembang maju dalam industri minyak dan gas hiliran, petrokimia dan kimia.

"SME Bank menyediakan lebih daripada RM35 juta dalam pembiayaan untuk menyokong 30 pelanggan. Kami bersedia untuk memanfaatkan kepakaran kami dengan kerjasama JPDC, agensi utama Kerajaan Persekutuan yang menyelia perancangan dan penyelarasan Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC).

"Bersama-sama, kami berhasrat untuk memperkasakan pelaburan dan meningkatkan penyertaan usahawan tempatan dalam tenaga kerja dan kesediaan sumber perniagaan untuk industri minyak dan gas hiliran, petrokimia dan kimia di PIPC," katanya dalam satu kenyataan.

Sejak penubuhannya, SME Bank telah meluluskan lebih RM47 bilion pembiayaan kepada 23,820 PKS, dengan RM560.74 juta diperuntukkan khusus kepada usahawan di Johor.

Aria berkata, matlamat SME Bank adalah untuk memupuk pengembangan perniagaan dan keusahawanan tempatan, memanfaatkan bukan sahaja Pengerang tetapi juga wilayah lain di negeri Johor.

"Dalam MoU ini, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam mengenal pasti dan memupuk prospektif vendor dari Pengerang dan Malaysia, menawarkan mereka bimbingan dalam pengurusan perniagaan dan kewangan, akses kepada pembiayaan, dan perkhidmatan sokongan penting lain," katanya

Sementara itu, Pemangku Ketua Eksekutif JPDC, Izhar Hifnei Ismail, berkata Program Pembangunan Kontraktor (CDP) adalah unjuran daripada Program Kemahiran dalam Minyak dan Gas (SOGA) yang telah dilaksanakan oleh JPDC di PIPC sejak 2013.

"Kami menyediakan kemahiran dan kecekapan kerja latihan, termasuk latihan kemahiran semula dan peningkatan kemahiran, untuk hampir 7,000 tenaga kerja Malaysia, dengan 95 peratus daripada mereka berjaya mendapat pekerjaan dalam sektor hiliran minyak dan gas, petrokimia, kimia dan tenaga di PIPC dan lokasi lain di Malaysia.

"Di bawah CDP, JPDC menyasarkan untuk menyediakan syarikat dan perusahaan kontraktor Malaysia bersaiz kecil dan sederhana dengan kemahiran dan kecekapan pengurusan perniagaan.

"Ini bagi membolehkan mereka terus meningkatkan keupayaan dan kapasiti, dan melayakkan mereka untuk menyediakan perkhidmatan kepada minyak dan gas hiliran, industri petrokimia dan kimia bukan sahaja di PIPC dan Malaysia, tetapi juga di peringkat antarabangsa," katanya.

Izhar Hifnei berkata, seramai 30 peserta yang memenuhi kriteria CDP akan menjalani latihan dalam dua kelompok, dengan 15 dari kumpulan pertama akan dilatih tahun ini, manakala baki 15 peserta kumpulan kedua akan dilatih pada tahun hadapan.

Katanya, JPDC akan mencalonkan prospektif usahawan kepada SME Bank untuk penilaian dan penyertaan dalam program latihan dan bimbingan, dengan kerjasama Centre for Entrepreneur Development Research Sdn Bhd (CEDAR), anak syarikat SME Bank.

"Program ini akan memberi tumpuan dalam meningkatkan kecekapan keusahawanan dan pengurusan perniagaan tempatan, usahawan, dan kontraktor," katanya.

Berita Harian X